Pertandingan Ratu Cantik yang pertama di dunia, Miss World, dianjurkan pada tahun 1951 oleh Eric Morley di United Kingdom. Miss Universe menyusul setahun kemudian pada 1952, diikuti Miss International pada 1960, dan Miss Earth pada 2001.
Setiap tahun, berjuta-juta penonton menyaksikan peserta melangkah anggun di atas pentas—dengan gaun berkilau, pakaian mencolok mata, solekan rapi, dan senyuman menawan. Selama beberapa dekad, pertandingan ratu cantik digambarkan sebagai lambang keanggunan, kebijaksanaan, dan pemerkasaan wanita. Namun demikian, satu persoalan tetap timbul—adakah pertandingan ini benar-benar memartabatkan wanita, atau hanya mengukuhkan stereotaip lapuk dan piawaian kecantikan yang terbatas?
Pada zaman ini, di mana kesamarataan jantina, rupa fizikal yang berbeza-beza, dan penerimaan diri semakin diberi perhatian, semakin ramai yang mempersoalkan tentang relevansi pertandingan ratu cantik—yang juga merupakan industri bernilai jutaan dolar, dibentuk oleh tajaan korporat, pengaruh media, dan kepentingan komersial.
Dunia Glamor yang Tidak Semudah Disangka
Perjalanan menuju mahkota ratu cantik bukannya bermula di atas pentas, tetapi jauh lebih awal. Peserta perlu menjalani latihan berbulan-bulan—belajar berjalan, bertutur, dan berpenampilan anggun sebelum melangkah ke pentas. Mereka sering dilatih mengikut standard feminin yang konvensional, menekankan keayuan, keanggunan dan daya tarikan.
Di Malaysia, pertandingan ini juga sering dikaitkan dengan kontroversi. Wanita Melayu muslim, yang mana membentuk majoriti penduduk, dilarang untuk menyertai pertandingan sejak fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan dikeluarkan pada tahun 1996. Fatwa tersebut mempersoalkan kesesuaian pertandingan dengan nilai Islam, khususnya berkaitan segmen pakaian renang.
Namun, menurut Ivan Choo—penganjur pertandingan ratu cantik yang berpangkalan di Pulau Pinang—wanita Melayu kini boleh menyertai jika segmen pakaian renang digantikan dengan pakaian lebih sopan atau dikecualikan terus. Sebagai pengasas dan pengarah Velvet Signature , dengan pengalaman lebih dua dekad dalam industri, Ivan menyaksikan sendiri perubahan demi perubahan dalam dunia pertandingan ratu cantik di Malaysia.
“Semuanya bergantung kepada hala tuju penganjur. Jika fokus diberikan kepada tema seperti kebajikan, keamanan dan niat baik, pertandingan ini boleh memberi impak positif kepada masyarakat,” jelasnya.
Sesetengah pemenang juga menggunakan platform ini untuk tujuan kemasyarakatan. Deborah Henry, Miss Universe Malaysia 2011, sebagai contoh, menubuhkan Fugee School bagi memberikan pendidikan kepada anak-anak pelarian. Bagi sesetengah peserta, pertandingan ini menjadi batu loncatan ke dunia hiburan. “Penganjur akan mencari bakat baharu—pelakon, penyanyi dan sebagainya—dan membantu membangunkan potensi peserta. Banyak jenama juga menaja acara sebegini untuk tujuan promosi, jadi ia membuka peluang kepada mereka yang mahu menceburi industri hiburan atau fesyen,” kata Ivan.
Beliau turut menyentuh peranan pertandingan ini dalam mempromosikan seni, budaya dan pelancongan—seperti acara Miss Tourism yang mengetengahkan makanan dan budaya tempatan di kawasan seperti Lebuh Macallum.
Naratif Baharu
Dalam usaha untuk kelihatan lebih inklusif dan progresif, banyak pertandingan kini melibatkan peserta dari pelbagai latar belakang, membuang had umur, serta menekankan inisiatif sosial dan komuniti. Namun begitu, hakikatnya elemen fizikal dan rupa paras masih menjadi faktor utama penilaian.
Apabila ditanya tentang dakwaan penyalahgunaan dalam industri, Ivan menafikan sebarang pengalaman sedemikian.
“Saya tak pernah dengar atau lihat perkara begitu. Mungkin ada kes di mana jadual terlalu padat sampai waktu makan dan rehat terganggu—tapi adakah itu dikira penyalahgunaan? Saya pun tak pasti,” ujarnya. Menurutnya, syarikatnya mengutamakan etika dan profesionalisme. Kontrak penyertaan disediakan dengan terma yang jelas, dan sebarang pelanggaran akan menyebabkan peserta disingkir dan tidak dibenarkan menyertai acara pada masa hadapan.
Bagi menyokong peserta, mereka juga menyediakan sesi pembinaan imej, latihan jati diri dan bimbingan psikologi.Ivan juga mengakui wujudnya persepsi negatif terhadap pertandingan ratu cantik, namun menegaskan bahawa isu pengobjektifan wanita bukan berpunca semata-mata daripada pertandingan ini.
“Kecantikan memang akan menarik perhatian, tapi yang penting ialah nilai yang kita tanamkan dan bagaimana kita bimbing peserta menggunakan platform ini dengan bijak,” katanya.
Walaupun pertandingan ini dikatakan memberi keyakinan dan membuka peluang, asasnya tetap bermasalah—wanita masih perlu bersaing dari segi penampilan fizikal. Kalau benar mahu meraikan kecerdasan, personaliti, bakat dan kepimpinan, bukankah sudah banyak saluran lain yang tidak memerlukan wanita berarak dalam gaun malam, bersolek tebal atau berkasut tumit tinggi?
Daripada terus bergantung kepada format yang semakin usang, mungkin sudah tiba masanya kita beralih kepada inisiatif yang mengiktiraf wanita atas pencapaian, idea dan sumbangan mereka—tanpa mengambil kira rupa paras.
Wanita tidak sepatutnya dinilai semata-mata atas penampilan, tetapi atas siapa diri mereka yang sebenar dan apa yang mampu mereka capai.
Dipetik dan diterjemahkan daripada artikel yang ditulis oleh Carolyn Khor(2025). Are Beauty Pageants Out of Date?. Penang Monthly, March Issue.
Carolyn Khor merupakan bekas setiausaha akhbar kementerian, bekas sukarelawan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu(PBB) dan juga seorang pengkaji bebas.