Tidak terlintas bagaimana rasanya menayangkan filem sendiri kepada dunia. Meremang bulu roma bukan kerana cuaca sejuk di musim dingin, tetapi memikirkan barisan orang yang beratur panjang menunggu giliran mereka untuk masuk ke dalam pawagam untuk menonton filem saya.
Terasa amat mencemaskan memandangkan ia adalah “Tayangan Perdana Dunia” dalam industri filem—filem sulung saya dalam teater IMAX. Bayangkan seluruh diri saya—pemikiran, kepercayaan, emosi, citarasa— ditayangkan pada skrin 22m x 16m; di hadapan 500 orang yang memasang mata dan telinga – melihat, mendengar dan menilai.https://penanginstitute.org/wp-content/uploads/2024/06/edisi100.pdf
Bila tiba giliran saya memperkenalkan filem Maryam Pagi Ke Malam di skrin, ketegangan mulalah terasa seperti ingin saja “angkat kaki” meninggalkan pawagam. Tetapi bila kelihatan ramai pula terpaku pada skrin dan hanya seorang saja yang meninggalkan dewan pawagam, biarlah saya duduk saja.
Kini tiba sesi soal jawab bersama penonton. Tidak sangka menarik juga sesi bersama penonton seakan sesi taklimat. Mereka berkongsi pengalaman yang sama dengan protagonis filem. Satu pertiga daripada penonton adalah diaspora Malaysia—jarang sekali dalam pengalaman saya sebelum ini di festival filem antarabangsa mereka sudah terbiasa dengan watak-watak yang cuba digambarkan. Dua lagi tayangan diikuti dalam festival itu dengan penonton yang sama bersemangat dan memberi sambutan yang positif, walaupun di dewan pawagam yang lebih kecil (alhamdulillah).
Filem saya adalah satu-satunya filem Malaysia di IFFR pada tahun itu. Ada filem Malaysia yang telah ditayangkan di Udine Far East Film Festival di Itali, diikuti satu di Semaine de la Critique di Perancis dan satu di Festival Filem Antarabangsa Busa. Sementara itu, tayangan berturut-turut juga diadakan di Festival Filem Asia Jogja-NETPAC dan Festival Filem Antarabangsa Singapura menampilkan enam filem Malaysia, beberapa daripadanya memenangi anugerah berprestij.
Gelombang Baru?
Seorang rakan lama yang juga pengaturcara di Festival Filem Antarabangsa Singapura memberitahu, “nampaknya ada gelombang baru buat pembuat filem Malaysia.” Pembuat filem Malaysia dah hampir mengena sasaran—kebanyakan, jika tidak semua, filem yang ditayangkan di festival ini diarahkan oleh pengarah filem buat kali pertama. Portal, Asian Movie Pulse melaporkan bahawa tahun 2023 membawa tuah untuk filem Malaysia.
Jika negara lain sudah tentu banyak liputan dan penulisan media mengenai trend baru industri perfileman yang menggalakkan ini, tetapi di Malaysia, liputan media yang meraikan adegan filem tempatan secara keseluruhan kelihatan kurang memberangsangkan. Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) sememangnya mengadakan acara untuk mengiktiraf filem tempatan yang berjaya tetapi perbincangan mengenai filem atau adegan filem untuk bebas berkreativiti sama ada baik atau buruk langsung tiada.
Bukan setakat filem, trend kewartawanan muzik tempatan juga mendapati tulisan dan laporan kewartawanan jauh sekali meraikan muzik tempatan kita sebagai satu bentuk seni dan produk budaya—sebaliknya, tumpuan mereka lebih kepada personaliti, hiburan dan selebriti. Samalah dengan kewartawanan filem.
Manakala Svara, sebuah jurnal seni Bahasa Melayu, pengarang Norman Yusof yang mengajar teori dan penghayatan filem, menulis bahawa untuk memiliki adegan filem yang mantap, adalah penting untuk menyemai cinta kepada pawagam. Bukan sekadar menayangkan filem dalam pemultipleks dan platform penstriman sahaja; perlu kelab filem, pendidikan filem, kritikan filem dan penulisan yang baik mengenai filem. Ekosistem sebegini menyumbang kepada adegan filem yang bertenaga, sama ada arus perdana atau bebas. Seperti muzik, filem perlu diraikan sebagai budaya, bukan hiburan semata-mata.
Filem Sebagai Budaya
Filem adalah medium berkuasa yang mencerminkan, membentuk dan menjana budaya. Ia ibarat cermin masyarakat bertindak sebagai kenderaan untuk ekspresi budaya kita, dan berfungsi sebagai pemangkin kepada perubahan sosial. Kepentingannya bukan sahaja terletak pada keupayaannya untuk memikat penonton tetapi juga pada cara ia mencetuskan pemikiran, membangkitkan emosi dan memupuk pemahaman yang lebih mendalam tentang pengalaman manusia.
Pembuat filem mendapat inspirasi daripada konteks sosial, politik dan sejarah pada zaman mereka. Sama ada menggambarkan perjuangan masyarakat terpinggir, meneroka hubungan interpersonal yang kompleks atau menghadapi isu sosial yang mendesak, filem seolah-olah lensa yang membolehkan penonton menyoal selok-belok keadaan manusia. Mereka berfungsi sebagai repositori pengetahuan budaya, memelihara dan menyebarkan cerita yang mungkin diabaikan atau dilupakan.
Lebih-lebih lagi, filem mengatasi halangan linguistik, perkauman dan budaya dan menghubungkan dengan penonton di merata dunia. Pembuat filem berada pada posisi yang baik untuk menyampaikan idea dan emosi yang kompleks dengan penonton dari pelbagai latar belakang. Penonton didedahkan pelbagai naratif dan pandangan dunia; pendek kata penayangan filem sebenarnya memupuk kesalinghubungan dan kemanusiaan bersama.
Penghargaan daripada masyarakat terhadap filem adalah penting untuk menyokong adegan filem yang lebih bertenaga supaya berkembang maju. Sebaik sahaja penonton dan pihak berkepentingan mengiktiraf filem sebagai warisan budaya, mereka lebih cenderung untuk menyokong dan terlibat dengan ekspresi sinematik yang pelbagai; keadaan inilah yang menjana persekitaran yang kondusif kepada kreativiti, inovasi dan pertumbuhan industri filem. Tetapi bagaimana ini boleh dilakukan?
Pembiayaan dan Kebebasan Kreatif
Penularan wabak COVID-19 telah memberi ruang kepada saya membuat filem cereka pertama. Semasa Perintah kawalan Pergerakan (PKP), sokongan untuk industri kreatif tetiba datang melalui talian hayat. Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) ditubuhkan sebagai sebahagian daripada program bantuan Covid-19 kerajaan. Dana untuk membuat filem diperuntukkan dan ditadbir oleh tiga agensi—FINAS, Astro dan MyCreative. Saya dimaklumkan tentang geran yang ditadbir oleh MyCreative oleh seorang rakan, yang turut menggalakkan saya memohon.
Program geran ini dikenali sebagai Geran Pemulihan Industri Kreatif, Filem Seni atau Geran Festival. Seperti namanya, ia didedikasikan untuk penghasilan filem seni untuk festival filem antarabangsa. Perkara terbaik mengenainya ialah pembiayaan itu datang tanpa sebarang ikatan—tiada kelulusan terlebih dahulu oleh lembaga penapisan negara atau FINAS, tiada keperluan untuk mempunyai tayangan pawagam tempatan atau untuk mengaut keuntungan. Satu-satunya “KPI” yang diperlukan ialah filem itu perlu dipilih dan ditayangkan sekurang-kurangnya satu festival filem antarabangsa daripada senarai kira-kira 30 yang disediakan oleh MyCreative.
Ia adalah satu-satunya peluang yang jarang berlaku bagi pembuat filem tempatan untuk menerima sokongan seperti ini tanpa dibebani komersial, dan tanpa pra-kelulusan lembaga penapisan. Maka, saya pun melontarkan cerita yang telah lama terlintas di fikiran tetapi sedar tidak mungkin mendapat pembiayaan dalam keadaan “biasa” kerana cerita saya menjangkau institusi keagamaan dan sosial yang menjurus ke dalam kehidupan peribadi individu.
Pembiayaan dan kebebasan berkreatif adalah tonggak berkembar di mana adegan filem yang bertenaga dan dinamik berdiri. Tanpa sokongan kewangan yang mencukupi dan autonomi untuk mengejar visi artistik, pembuat filem menghadapi halangan untuk merealisasikan kreativiti mereka untuk menyumbang kepada budaya masyarakat.
Inisiatif pembiayaan menguatkan suara dan cerita yang pelbagai yang mungkin diabaikan; memperkayakan landskap sinematik dengan perspektif yang lebih luas, pengalaman dan gaya penceritaan.
Kebebasan berkreatif—autonomi untuk pembuat filem meneroka idea berani, mengambil risiko dan menolak sempadan ekspresi artistik. Kebebasan berkreatif memberi kuasa kepada pembuat filem untuk menangani hal-hal yang mencabar, bereksperimen dengan teknik yang tidak konvensional dan menentang konvensyen genre, menghasilkan karya yang inovatif, provokatif dan bergema dari segi emosi.
Malangnya, program pembiayaan (dan kebebasan berkreatif yang disertakan bersamanya) yang memberi peluang untuk filem seperti saya tidak dapat lagi diteruskan. Keadaan kembali seperti biasa. Dana awam dan geran untuk filem tersedia mesti melalui saluran biasa, perlu kelulusan penapisan terlebih dahulu. Malah, pihak tertentu di negara ini kecewa kerana filem dibuat menggunakan dana awam tanpa kelulusan terlebih dahulu. Nampaknya kebebasan berkreatif sekali lagi disekat, kali ini pihak berkuasa mengetatkan semula proses pra-kelulusan.
Filem Bersifat Provokasi
Alasan terbesar menentang kebebasan kreatif di Malaysia ialah “keselamatan negara”—jika diberi terlalu banyak kebebasan, pembikin filem akan mencetus dan menyakiti perasaan orang ramai, serta mencetuskan gangguan sosial dan keganasan. Lembaga penapisan wujud untuk menjamin filem yang dikeluarkan kepada umum tidak bersifat provokatif dan hanya akan mempromosikan tema yang sesuai dengan “nilai masyarakat”.
Peraturan seperti ini mengawal pemikiran yang membantut potensi seseorang untuk berfikir secara kreatif. Ketidakpuasan hati meletus bila tidak diberi peluang untuk meluahkan fikiran dan emosi melalui kemahiran berkreativiti dalam ruang yang selamat.
Pada dasarnya, filem sememangnya bersifat provokatif; sering menolak sempadan norma dan konvensyen masyarakat. Ia berani untuk menghadapi kebenaran walaupun dalam suasana tidak selesa, mencabar kepercayaan yang telah tertanam dan merangsang perbualan yang menimbulkan pemikiran tentang keadaan masyarakat. Filem berfungsi sebagai ruang selamat—tempat perlindungan sinematik—di mana penonton terlibat dalam dialog yang kompleks dan bagaimana cara menghadapi isu perbalahan dalam persekitaran yang terkawal.
Pembuat filem cuba membincangkan topik sensitif yang mungkin akan mendapat tentangan atau pembelaan dalam medium lain. Mereka cuba menerokai isu-isu berkaitan sesuatu kaum, seksualiti, agama atau politik; menyelidiki kerumitan kewujudan manusia dengan nuansa dan empati. Mereka menjemput penonton untuk keluar dari zon selesa, mempersoalkan sesuatu andaian dan berempati dengan watak yang menjalani kehidupan dan pengalaman berbeza daripada mereka sendiri.
Pengalaman sinematik mungkin mengasyikkan, dikelilingi oleh kegelapan, diselubungi oleh bunyi dan terperangkap oleh imejan—adalah kondusif untuk introspeksi dan refleksi. Dalam lingkungan pawagam atau privasi rumah seseorang, penonton mempunyai kebebasan untuk mengikut rentak mereka sendiri, tanpa rasa takut terhadap penghakiman atau tindakan balas.
Di manakah kita sekarang?
Penerimaan filem Malaysia di litar antarabangsa sepanjang tahun 2023 amat positif tetapi berlaku sebaliknya di tanah air sendiri. Ada filem banyak disunting, dan ada yang terpaksa menarik diri daripada ditayangkan di pawagam tempatan untuk mengelak daripada berurusan dengan lembaga penapisan. Malah pada platform penstriman—sering dianggap sebagai “tempat selamat” untuk filem tempatan—salah satu daripadanya terpaksa diturunkan oleh kerajaan Malaysia—sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Pembuat filem diganggu dan diancam oleh penganut agama selain didakwa di mahkamah kerana menyentuh sensitiviti keagamaan.
Persekitaran ini menjejaskan keyakinan dan rasa selamat, baik dalam pembuat filem sedia ada dan mereka yang berpotensi berkarya. Daripada menumpukan minat yang mendalam untuk berkarya, pembuat filem berdepan dengan risiko penapisan yang ketat merencatkan usaha mereka untuk berkreatif.
Saya masih ingat temubual antara rakan pembuat filem dan wartawan beberapa tahun lalu. Katanya, babak perfileman Malaysia paling menarik di dunia kerana banyak cerita yang tidak tercerita. Saya bersetuju dengan kenyataan itu—filem-filem yang dikeluarkan tahun lepas (2023) benar-benar menguji kenyataan itu dengan terbitnya kepelbagaian cerita yang penuh dengan kisah-kisah yang belum pernah kita tonton sebelum ini dalam filem-filem tempatan.
Persoalan yang masih kekal mendesak dalam sanubari saya ialah bagaimanakah kita dapat meneruskan cerita kita jika kita tidak dibenarkan, dan jika kita tidak berasa selamat melakukannya?
Terjemahan daripada artikel ditulis oleh Badrul Hisham Ismail. (2024). Do Malaysian Films Have a Future? Penang Monthly, May Issue, 6–11.
Badrul Hisham Ismail ialah pengarah dan penulis skrip Maryam Pagi Ke Malam, sebuah filem 2023 yang berkisar tentang perjuangan wanita Islam dengan birokrasi agama dan norma masyarakat dalam keinginannya memilih pasangan. Filem beliau ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Rotterdam (IFFR) 2023 yang berprestij, tetapi tidak ditayangkan di pawagam Malaysia.