
Dalam kesibukan rutin harian yang dipenuhi dengan mesyuarat dan tugasan, interaksi di pejabat sering kali terbatas kepada sapaan ringkas atau perbualan yang berkisar pada urusan kerja semata-mata. Di sebalik meja dan layar komputer, hubungan antara rakan sekerja kerap dibingkai dalam batas profesional yang formal dan berjarak. Suasana kerja yang terlalu berstruktur ini kadangkala menjauhkan jiwa-jiwa yang sebenarnya mendambakan sentuhan kemanusiaan dan keakraban.
Di tempat kerja, tekanan mental dan emosi bukanlah fenomena baharu. Ia adalah kebimbangan yang serius, memberi kesan terhadap kesejahteraan mental para pekerja dan secara perlahan menghakis semangat produktiviti. Menurut Laporan Kesejahteraan di Tempat Kerja 2024 oleh Employment Hero, 67% pekerja di Malaysia melaporkan mereka menghadapi burnout, satu perasaan di mana seseorang individu sering keletihan dari segi fizikal dan mental, hilang motivasi diri yang menjadikan mereka kurang produktif. Terdapat peningkatan sebanyak 17% daripada tahun 2022, di mana 58% pekerja melaporkan berasa letih atau burnout. Tekanan jika tidak diurus dengan baik bukan sahaja melemahkan tumpuan dan motivasi, malah boleh menjejaskan kesihatan fizikal dan emosi. Budaya kerja moden ada kalanya menuntut kecekapan tanpa henti, sehingga ruang untuk “bernafas” dan bergembira diendahkan.
Dalam menghadapi realiti ini, satu alternatif yang kian mendapat tempat ialah melalui aktiviti santai selepas waktu pejabat, dan salah satunya ialah sukan pickleball. Ringan namun mengujakan, permainan ini membuka ruang untuk keluar sebentar dari kepompong kerja dan menenun kembali hubungan insani yang mungkin longgar. Bayangkan, sehari sebelum hujung minggu menjelang, gelanggang pickleball bertukar menjadi pentas tawa, gerak, dan pertemuan; tempat di mana hierarki jabatan tidak menjadi pemisah, sebaliknya rakan-rakan dari jabatan lain, berkumpul, berdiri di gelanggang yang sama, bersatu dalam semangat kebersamaan.
Pengalaman pertama diajak bermain pickleball bersama rakan sepejabat pada awalnya terasa agak janggal, maklumlah sudah lama tidak bersukan tambahan pula mulanya hanya “seorang dua” yang mendaftarkan diri. Namun, tatkala hari yang dinanti tiba, ada antara rakan sepejabat yang tidak disangka hadir, turut memberi sokongan untuk datang, bukan untuk bersaing, tetapi ingin turut serta melepaskan lelah selepas penat bekerja. Di situ, di antara dentuman bola dan jeritan kecil kegembiraan, terselit semangat yang sukar dibina di bilik mesyuarat; rasa percaya, empati, dan keakraban yang tulus.
Permainan pickleball ini mengajar erti kerjasama. Setiap hantaran bola mencerminkan tumpuan mata, gerakan kaki dan tangan yang selaras untuk menerima dan memukul bola dengan tepat yang memerlukan bantuan rakan untuk memastikan agar ia tidak jatuh. Ibarat kehidupan di pejabat yang mana kejayaan organisasi tidak pernah berdiri atas kekuatan individu semata-mata, tetapi hasil kerjasama, toleransi, dan kepercayaan yang dibina antara satu sama lain.
Pickleball menjadi lambang kepada keseimbangan antara dunia kerja dan dunia sosial; satu ruang di mana manusia dapat menjadi diri sendiri tanpa topeng profesionalisme yang sering dipakai di pejabat. Dalam suasana santai, gelak tawa menggantikan laporan, dan semangat berpasukan menggantikan tekanan tugasan. Di sinilah lahir semula tenaga positif yang menyegarkan semangat dan menceriakan hari-hari kerja seterusnya.
Kesejahteraan di tempat kerja bukan hanya bergantung pada dasar atau polisi majikan, tetapi juga pada hubungan sesama manusia yang menghidupkan suasana organisasi. Aktiviti beriadah seperti pickleball adalah salah satu cara mudah namun bermakna untuk memupuk keharmonian itu. Dalam dunia pekerjaan moden yang menekankan hasil dan kecekapan, komunikasi sering terbatas kepada mesej di kumpulan WhatsApp, e-mel rasmi, atau perbincangan singkat. Hubungan seperti ini bersifat efisien, tetapi jarang membina ruang untuk memahami lebih dekat sisi peribadi rakan sekerja.
Apabila pekerja mempunyai peluang untuk berinteraksi secara santai, mereka belajar untuk mempercayai antara satu sama lain dengan lebih mendalam. Dari situ lahir sifat empati dan toleransi; dua elemen penting dalam kerja berpasukan. Aktiviti seperti pickleball membuka ruang kepada pekerja untuk melihat rakan sekerja mereka bukan sekadar sebagai “rakan jabatan” atau “pegawai atasan”, tetapi sebagai insan yang mempunyai keperibadian dan nilai kemanusiaan tersendiri.
Selain manfaat sosial, permainan ini turut memberi kesan positif terhadap kesihatan fizikal dan mental. Selepas seharian duduk di meja kerja, tubuh kita memerlukan pergerakan dan pickleball menawarkan aktiviti sihat yang menyeronokkan untuk melakukannya. Dari segi fizikal, ia membantu melancarkan peredaran darah dan meningkatkan kecergasan. Dari segi mental, permainan ini menjadi terapi semula jadi yang melepaskan tekanan dan membangkitkan semula tenaga positif. Sementara itu, dari sudut sosial, ia memperkukuh semangat kekitaan dan rasa kebersamaan di kalangan warga kerja.
Kajian menunjukkan bahawa organisasi yang menggalakkan kesejahteraan sosial dan aktiviti riadah di tempat kerja cenderung memiliki kadar produktiviti lebih tinggi serta tahap stress yang lebih rendah. Apabila pekerja berasa sihat dari segi fizikal dan mental, mereka akan datang bekerja dengan hati yang lebih terbuka, minda yang segar, dan semangat yang lebih ceria.
Secara keseluruhan, antara faktor utama yang memberi kesan langsung terhadap kesejahteraan di tempat kerja ialah stres, gaya hidup tidak aktif, dan pemakanan yang tidak sihat. Ketiga-tiga faktor ini saling berkait dan secara tidak langsung mempengaruhi tahap tenaga, kepuasan kerja, serta kesihatan jangka panjang seseorang. Di sinilah pickleball menjadi relevan yakni bukan sekadar aktiviti hiburan, tetapi satu pendekatan holistik yang menyentuh tubuh, minda, dan jiwa.
Akhirnya, sukan ini bukan sekadar tentang hantaran servis di gelanggang, tetapi tentang nilai-nilai yang dibawanya yakni keakraban, komunikasi, dan kegembiraan dalam kebersamaan. Ia mengingatkan kita bahawa di sebalik segala tugasan dan tanggungjawab, kita tetap manusia yang memerlukan hubungan yang tulen serta ruang untuk berinteraksi dan berkomunikasi secara jujur.
Pickleball mungkin kelihatan seperti permainan yang mudah dikuasai, namun di sebaliknya tersimpan makna yang lebih mendalam; pembinaan semangat esprit de corps, pemupukan perpaduan serta budaya kerjasama yang harmoni berlandaskan sokongan tulus antara rakan sekerja. Di situlah terserlah keindahan sebenar dunia pekerjaan; apabila kerja tidak lagi dilihat sekadar usaha mengejar hasil, tetapi juga sebagai perjalanan untuk mempelajari erti kehidupan, menjiwai rasa kebersamaan (sense of belonging), dan menghargai keindahan hubungan sesama manusia.
Rujukan
1) Farahin, F. (2024). 67% Pekerja di Malaysia rasa ‘Burnout’ di pejabat, alami stres lebih dari sekali sebulan . The Rakyat Post, Ogos 9. https://www.therakyatpost.com/trpbm/berita/2024/08/09/67-pekerja-di-malaysia-rasa-burnout-di-pejabat-alami-stres-lebih-dari-sekali-sebulan/.
Dr. Rahida Aini Mohd Ismail adalah Pemegang Ijazah Doktor Falsafah Pengurusan Awam. Beliau kini bertugas sebagai Penyelidik Projek, Program Warisan dan Pengajian Wilayah di Penang Institute.




