Istilah “World Music” muncul sekitar tahun 1987, ketika para pemain industri muzik Barat mula meneroka muzik-muzik Afrika setelah melihat kejayaan Paul Simon dengan album Graceland. Sudah tentu, World Music atau Muzik Dunia merupakan istilah pukul rata yang merangkumi segala jenis muzik selain muzik daripada tradisi muzik Eropah dan Amerika. Hal itu yang menimbulkan pelbagai kritik terhadap genre muzik yang tidak jelas maknanya ini. Antaranya, penempelan sebegini hanya memperkukuhkan lagi konotasi “kita” dan “mereka” dalam industri muzik, dengan “kita” merujuk khusus kepada budaya pop barat dan “mereka” dituju ke arah selainnya. Setelah lebih tiga dekad, kita melihat ada sedikit perubahan di belahan dunia kita. Biarpun ada sebahagian kedai muzik alternatif tempatan masih menyediakan satu bakul World Music untuk segala jenis muzik yang “tidak layak” untuk masuk bakul genre-genre popular, ada juga yang sudah memecahkan kategori umum itu menjadi lebih kecil, misalnya dengan menggunakan istilah “Serantau” atau “Nusantara.” Namun, dengan ketidakseimbangan ekonomi yang tetap wujud, bagaimana para penggiat muzik di rantau ini bertindak balas terhadap masalah hegemoni muzik barat? Adakah kemunculan kategori-kategori muzik baru yang lebih tempatan boleh menyelesaikan masalah penentuan selera yang berat sebelah ini?
Izzuddin Ramli dan Badrul Hisham Ismail berbual dengan Uzair Sawal (Fono) tentang persoalan ini.