March 3, 2013
Kenyataan Akhbar mengenai Pelancaran Laporan
Paradigma Pulau Pinang
disediakan oleh Penang Institute
Profesor Datuk Woo Wing Thye
Pengarah Eksekutif, Penang Institute
wtwoo@penanginstitute.org
Krisis Kewangan Global yang tercetus pada September 2008 dan proses pemulihan negara kaya yang perlahan tidak boleh dipersalahkan atas kemalaran ekonomi semasa Malaysia. Pendapatan purata (KDNK per kapita dalam PPP$) Malaysia mencapai 30.7 peratus daripada pendapatan AS pada tahun 1996 dan hanya sedikit lebih tinggi pada tahun 2007 dengan 31.9 peratus. Sebaliknya, pendapatan Korea meningkat dari 49.9 peratus daripada pendapatan AS pada tahun 1996 kepada 61.4 peratus pada tahun 2007; manakala pendapatan Taiwan meningkat dalam tempoh masa yang sama dari 55.7 peratus kepada 66.8 peratus pada tahap AS. Pendek kata, Malaysia sudah berada dalam perangkap pendapatan pertengahan menjelang tahun 2007, dan terperangkap selama sedekad setengah yang lalu.
Penting untuk kita mengambil tahu bahawa semasa pembentukan Malaysia pada tahun 1963, pendapatan Malaysia mencapai 13.6% daripada pendapatan AS, manakala pendapatan Korea dan Taiwan kedua-duanya lebih rendah masing-masing pada 10.7% dan 12.6%. Kini, lima puluh tahun berlalu, Malaysia hanya separuh kekayaan dimiliki Korea dan Taiwan. Malaysia telah memulakan sejarah negara dengan kelebihan yang cukup banyak berbanding dengan negara jirannya dan akan tetapi masih berada di bawah paras potensi sebenarnya pada abad ke-21. Tambahan pula, sepanjang tempoh ini, pengagihan pendapatan telah merosot secara ketara, dan bio-diversiti telah banyak menurun.
Kini, Penang Institute ingin mendapatkan bimbingan daripada rakyat Pulau Pinang serta rakan-rakan di luar Pulau Pinang tentang bagaimana kita dapat menambahbaik draf laporan Paradigma Pulau Pinang, agenda pembangunan yang menyeluruh:
- memulihkan dinamisme ekonomi ke Pulau Pinang;
- meningkatkan tahap kesesuaian untuk didiami di Pulau Pinang dan kelestarian alam sekitar;
- mempercepatkan pembangunan sosial di Pulau Pinang dalam mengukuhkan keharmonian sosial dan memperluas penyertaan sosial.
Dasar-dasar utama yang kami cadangkan untuk Pulau Pinang juga dapat digunapakai Malaysia secara keseluruhan. Permulaan tiga proses sosio-ekonomi tersebut di seluruh negara akan secara semulajadi mempercepatkan kemajuan sosio-ekonomi di Pulau Pinang (dan di setiap negeri) lantaran interaksi bersinergi antara kesemua negeri.
Apa yang telah Tersilap, dan Apa yang Masih Silap?
Dalam tempoh dua belas tahun yang lalu, kerajaan Persekutuan memperkenalkan siri pakej dasar fbaru yang menyeluruh untuk melonjakkan proses ekonomi ‘catch-up’ di Malaysia, contohnya Program TalentCorp, rancangan pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), Program Transformasi Ekonomi (ETP), dan Program Transformasi Kerajaan (GTP). Setiap satu program berharga tinggi ini boleh dikaitkan dengan kelemahan utama ekonomi Malaysia.
Kewujudan
- Projek TalentCorp membuktikan kekurangan bakat insan di Malaysia;
- Rancangan pembangunan NCER dan rancangan pembangunan wilayah yang lain mendedahkan bahawa pemusatan aktiviti ekonomi yang melampau di Lembah Klang dan pemusatan infrastruktur awam di kawasan Kuala Lumpur-Putrajaya telah mewujudkan corak pembangunan sosio-ekonomi yang sangat tidak seimbang;
- ETP menonjolkan kekurangan yang teruk dalam pelaburan domestik; dan
- GTP menunjukkan prestasi institusi tadbir urus Persekutuan yang tidak memuaskan, seperti perkhidmatan awam dan sistem kehakiman.
Walau bagaimanapun, program-program yang baru dan berharga tinggi ini masih belum berupaya memulihkan keadaan ekonomi yang kian merosot. Secara analitik, ketidakberkesanan dasar-dasar baru ini adalah dalam jangkaan kerana tujuan utamanya ialah untuk mengubati gejala kelesuan ekonomi Malaysia dan bukan untuk menangani punca permasalahan. Kerajaan Persekutuan berusaha untuk merawat kelesuan ekonomi tanpa terlebih dahulu mengenal pasti dengan jelas faktor-faktor spesifik yang telah mengakibatkan ekonomi Malaysia tenat, dan kemudian membentuk dasar-dasar yang disasarkan kepada faktor-faktor tersebut. Sebaliknya, Persekutuan menghasilkan dasar-dasar yang berpotensi mengimbangi kesan-kesan negatif yang disebabkan oleh faktor-faktor tersebut.
Pendekatan tanpa diagnosis terhadap pengurusan ekonomi ini adalah serupa dengan mencuba untuk mengubati setiap penyakit dengan dos besar vitamin yang meliputi keseluruhan abjad. Ia adalah jelas bahawa pendekatan sedemikian terhadap masalah perubatan akan berjaya hanya jika doktor dibekal dengan nasib yang baik. Oleh itu, ia mengecewakan bahawa cukup banyak organisasi lain (yang hanya dibekal dengan wang) baru-baru ini juga mengamalkan pendekatan tanpa diagnosis dalam resepi dasar mereka untuk memacu ekonomi Malaysia.
Yang paling mengecewakan ialah bahawa fakta-fakta tersedia di depan mata kita semua. Faktor-faktor spesifik yang perlu ditangani dalam rangka untuk membebaskan Malaysia dari perangkap pendapatan pertengahan adalah:
- penyalahgunaan dasar-dasar sosio-ekonomi yang berasaskan kaum dan juga pemilihan berdasarkan hubungan dan bukanya pencapaian di sektor kerajaan menyebabkan penghijrahan modal insan ‘brain drain’ yang ketara (justeru, kekurangan idea-idea) dan kehilangan modal yang besar (justeru, kekurangan pelaburan);
- pemusatan kuasa yang melampau di peringkat Persekutuan menghalang kerajaan tempatan menyediakan infrastruktur yang diperlukan untuk mendukung pembangunan tempatan (justeru, kekurangan infrastruktur perkakasan di luar Kuala Lumpur dan Putrajaya), dan
- dalam kekaburan operasi kerajaan Persekutuan – misalnya kontrak kerajaan yang tertutup dan dirundingkan – yang menaungi ketidakcekapan, dan, mungkin juga, rasuah, daripada akauntabliti awam (justeru, kekurangan infrastruktur perisian awam).
Kesan negatif kepada pertumbuhan KDNK daripada ‘brain drain’, kehilangan modal, kekurangan infrastruktur perkakasan, dan infrastruktur perisian yang tidak cukup taraf tidak terserlah sebelum 1995 kerana telah diimbangi oleh kemasukan FDI secara besar-besaran, dan oleh pelaburan negeri dan GLC yang besar, yang telah menjadi lebih lancar lantaran pertumbuhan pasca-1974 dalam hasil minyak dan gas.
Walau bagaimanapun, perkembangan globalisasi pasca-1990 terhadap bekas empayar Soviet, India dan China telah menyebabkan sebahagian daripada FDI global yang diterima oleh Malaysia merosot dengan ketara. Penurunan penerimaan FDI global oleh Malaysia, bersama dengan daya kewangan Kerajaan Persekutuan dan GLC yang lebih lemah selepas bertahun-tahun salah urus, telah menyebabkan keruntuhan pelaburan pada tahun 2000, menjerat Malaysia dalam perangkap pendapatan pertengahan bagi sedekad setengah yang lalu.
Walaupun membahayakan, dalam jangka masa yang pendek, dasar-dasar ini boleh dikatakan perlu supaya Negara dapat mencapai sasaran. Perlaksanaan yang berterusan atas dasar kesamarataan ekonomi dan keadilan sosial sehingga hari tidak lagi wajar. Dasar-dasar ini hanya boleh dianggap sebagai langkah-langkah kecemasan untuk keadaan dalam dan luar Negara pada masa itu. Oleh itu, ia seharusnya tidak lagi digunpakai selepas tahun 1985.
Bermula dari bulan Mac 2008, kerajaan negeri Pulau Pinang memperkenalkan tiga kumpulan dasar untuk mengurangkan kesan mudarat rejim dasar Persekutuan di Pulau Pinang:
- menggantikan kapitalisme kroni dengan persaingan yang adil, misalnya tender terbuka untuk projek-projek awam;
- memulakan desentralisasi dalam proses membuat keputusan, contohnya mendesak untuk pilihan raya pihak berkuasa tempatan;
- menghentikan kemerosotan dalam kualiti perkhidmatan kerajaan, contohnya menggunakan prinsip CAT (kompetensi-kebertanggungjawaban-ketelusan) dalam tadbir urus.
Merencana Kejayaan yang Dicapai oleh Pulau Pinang dari 2008 hingga 2012
Komponen operasi Paradigma Pulau Pinang dibahagikan kepada strategi dan sasaran bagi (i) dinamisme ekonomi, (ii) kesesuaian didiami dan kelestarian, dan (iii) pembangunan dan keterangkuman sosial. Paradigma Pulau Pinang menumpukan perhatian sama rata terhadap isu-isu Kesesuaian Didiami dan Kelestarian dan isu-isu Pembangunan dan Keterangkuman Sosial dengan isu-isu Dinamisme Ekonomi kerana, dalam jangka masa panjang, tiga sifat sistemik kemakmuran, kesesuaian didiami dan keharmonian adalah hasil yang saling bergantung. Daya maju setiap tiga sifat ini memerlukan kewujudan dua sifat yang lain. Pendek kata, tahap muktamad kebajikan sosial merupakan produk pendaraban ketiga-tiga sifat sistemik ini: nilai sifar dalam mana-mana satu dimensi akhirnya akan menyebabkan keruntuhan sistem.
Paradigma Pulau Pinang bertujuan memperkukuh proses pemulihan dinamisme ekonomi dengan mencadangkan langkah-langkah dasar yang khusus dalam meningkatkan:
- pertumbuhan pembuatan berteknologi tinggi dan sektor berteknologi tinggi bio-pertanian, contohnya pengembangan sektor elektrik dan elektronik, industri peranti perubatan, industri makanan halal, dan industri akuakultur;
- kemunculan aktiviti perkhidmatan moden bernilai tinggi seperti menjadi sebuah pusat global bagi pemprosesan perniagaan sumber luar (OBP);
- kerancakan pelancongan berpulangan tinggi, contohnya menjadi pusat perubatan serantau, dan menjadi tempat percutian pada musim sejuk yang digemari oleh penduduk zon beriklim sederhana;
- penubuhan hab pendidikan serantau, yang bukan sahaja dapat menjadi sebuah industri hijau yang berhasil tinggi tetapi juga akan menjadi sumber perundingan bagi firma-firma di rantau ini;
- peralihan PKS menjadi pengeksport bertaraf dunia, iaitu meniru pengalaman Taiwan;
- penyediaan perkhidmatan infrastruktur berkualiti tinggi, contohnya membekalkan internet teramat laju untuk menyokong pusat OBP, dan menjadi pelabuhan antarabangsa untuk memenuhi keperluan logistik utara Semenanjung Malaysia, Sumatera Utara, Thailand Selatan, dan Myanmar Selatan; dan
- pembangunan pusat kecemerlangan dalam sains dan teknologi.
Oleh kerana prasyarat untuk kejayaan dalam setiap satu daripada tujuh bidang di atas adalah ketersediaan bakat insan yang mencukupi dalam bidang kegiatan tersebut, Paradigma Pulau Pinang membentangkan cadangan-cadangan yang praktikal tentang bagaimana untuk meningkatkan tahap kemahiran tenaga buruh Pulau Pinang, mengekalkan bakat insan di Pulau Pinang, dan menarik bakat manusia ke Pulau Pinang. Langkah-langkah menyeluruh yang dicadangkan dalam Paradigma Pulau Pinang untuk meningkatkan kesesuaian didiami dan kelestarian ekologi Pulau Pinang dan untuk mempercepatkan kemajuan sosial di Pulau Pinang bukan sahaja akan membantu meningkatkan jumlah bakat insan di Pulau Pinang tetapi juga secara langsung meningkatkan kebajikan penduduk Pulau Pinang.
Antara cadangan dasar utama tentang “Kesesuaian Didiami dan Kelestarian” termasuklah langkah-langkah:
- untuk menjadikan perumahan mampu dimiliki semua dengan:
– membaharui garis panduan perancangan dan pengezonan dan struktur yuran serta caj pembangunan;
– menggunakan insentif berasaskan pengezonan untuk menggalakkan bangunan unit yang berpatutan dan bukannya unit besar dan mewah;
– menggantikan kuota perumahan kos rendah yang sedia ada yang diterajui oleh pemaju dengan sumbangan progresif kewangan juga berdasarkan Nilai Pembangunan Kasar per kaki persegi;
– membina perumahan awam melalui proses tender terbuka;
– membangunkan koperasi perumahan bukan keuntungan untuk mengurus dan mengekalkan perumahan sewaan sosial. - untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas dan meningkatkan keterhubungan dengan:
– memulakan amalan menjajarkan penggunaan tanah dengan perancangan pengangkutan;
– mendukung campuran penggunaan tanah supaya tempat-tempat di mana orang bekerja, hidup dan bermain lebih dekat antara satu sama lain;
– menggalakkan orang ramai untuk berpindah dari pinggir bandar kembali ke bandaraya, terutamanya ke kawasan Warisan, dan untuk menggunakan basikal bagi pergerakan dalam bandar;
– membina jalan pintas strategik untuk memudahkan perjalanan utara-selatan di Pulau;
– membina sistem transit massa trem dan bas yang menyeluruh; dan
– menghubungkan bahagian utara Pulau dengan bahagian utara Seberang Perai dengan terowong. - untuk meningkatkan kuantiti dan kualiti ruang awam terbuka dengan:
– meningkatkan keperluan ruang awam dalam projek perumahan; - untuk meningkatkan kelestarian alam semula jadi dengan
– memerlukan reka bentuk bangunan dan teknik hijau untuk semua projek pembangunan baru secara berperingkat;
– menghijaukan kawasan bandar;
– merekabentuk saliran induk baru dan pelan penuaian air;
– menggalakkan amalan pertanian yang lestari;
– mengurangkan permintaan air melalui pendidikan dan kawalan harga; dan
– melancarkan kawalan bencana alam sekitar dan pelan mitigasi.
– penyusunan semula keperluan ruang terbuka dan insentif untuk menekankan kualiti ruang terbuka dalam projek pembangunan baru;
– merangkumi taman pantai lelurus di tanah tambakan baru, contohnya Taman Pesisir Pantai Gurney Drive yang dicadangkan;
– menyewa/mengubahsuai tanah swasta dan majlis yang jarang digunakan untuk kegunaan awam, contohnya yang cadangan Dataran Warisan Prangin dan cadangan penukaran tapak pelupusan Jelutong menjadi sebuah taman; dan
– melibatkan diri dengan komuniti perniagaan tempatan untuk mengambil pemilikan penambahbaikan bandar, contohnya George Town BIDS (Skim Peningkatan Perniagaan Daerah).
Sasaran utama dalam tempoh 2008-2012 pembasmian “kemiskinan mutlak” di Pulau Pinang telah dicapai. Paradigma Pulau Pinang sekarang akan mempercepatkan pembangunan sosial dan meluaskan keterangkuman sosial di Pulau Pinang dengan melaksanakan program-program konkrit:
- untuk memerangi kemiskinan, ketaksamaan dan diskriminasi oleh
– menyediakan sokongan tambah nilai untuk memastikan pendapatan isi rumah minimum sebanyak RM770 (dengan itu, menghapuskan kemiskinan di Pulau Pinang);
– memperluaskan skim kredit mikro kepada golongan miskin untuk membolehkan mereka meningkatkan pendapatan;
– memperluaskan program yang sedia ada untuk membasmi kemiskinan di kalangan warga emas;
– menyediakan infrastruktur mesra OKU untuk mobiliti dan ketercapaian di semua ruang awam;
– mewujudkan Suruhanjaya untuk membentangkan laporan keterangkuman sosial tahunan sebelum Dewan Undangan; dan
– memandatkan peluang saksama dan kesaksamaan jantina di agensi dan kontraktor Kerajaan Negeri. - untuk mengukuhkan sokongan keluarga dan masyarakat dengan:
– memperluaskan ketercapaian penjagaan kanak-kanak dan penjagaan bagi warga tua dengan memudahkan penubuhan dan menyediakan bantuan dana dan yuran bagi golongan miskin;
– mewujudkan rangkaian pusat komuniti untuk belia, masyarakat dan program warga emas;
– menubuhkan klinik komuniti bergerak di kawasan bandar dan luar bandar;
– mewujudkan program pendidikan kesihatan negeri mengenai rawatan pencegahan;
– mewujudkan pendaftaran daerah dan unit bantuan untuk rakyat Malaysia “tanpa kerakyatan”;
– melindungi hak pekerja domestik dan asing dengan melaksanakan dasar etika pekerjaan di tempat kerja dan di rumah; dan
– menubuhkan sebuah agensi bagi Hak Asasi Kanak-kanak dan Perlindungan Kanak-kanak. - untuk menggalakkan pemerkasaan ekonomi melalui pendidikan dengan
– menubuhkan Pusat Sehenti untuk mewujudkan prasekolah dan pusat-pusat penjagaan kanak-kanak di setiap majlis tempatan;
– membentuk Perkongsian Awam Swasta dalam mewujudkan Pendidikan Prasekolah, mengintegrasikan kanak-kanak arus perdana dan mereka yang mempunyai keperluan khas;
– memulakan Program Pembelajaran Kreatif bagi pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah dalam pembacaan, penulisan, matematik, sains dan Bahasa Inggeris;
– menyediakan laluan pendidikan alternatif melalui pendidikan vokasional swasta;
– menubuhkan program perantisan melalui perkongsian awam swasta; dan
– memperluaskan program latihan semula dan peningkatan kemahiran melalui Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang dan institusi profesional. - menginstitusikan pemerkasaan demokratik dengan
– memandatkan pengisytiharan aset wajib oleh semua penggubal undang-undang Negeri;
– melaksanakan Kebebasan Maklumat;
– menyediakan ketersediaan dalam talian untuk undang-undang Negeri dan Hansard, undang-undang kecil dan minit majlis, permohonan perancangan, dan lain-lain;
– meningkatkan latihan dan sumber untuk penggubal undang-undang Negeri;
– mendesentralisasi dan merasionalkan kuasa antara ketiga-tiga peringkat kerajaan untuk menyampaikan kerajaan tempatan yang bertanggungjawab secara demokratik; – meningkatkan proses perundingan awam;
– menubuhkan laman sesawang dan aplikasi bimbit untuk aduan awam, cadangan dan petisyen.
Merealisasikan Potensi Pulau Pinang
Sekali lagi ditekankan, kepercayaan teras Paradigma Pulau Pinang adalah pemulihan dinamisme ekonomi sahaja tidak boleh menghasilkan pertumbuhan berpendapatan tinggi yang berterusan di Pulau Pinang. Ia juga memerlukan (i) kesesuaian didiami dan kelestarian alam sekitar di Pulau Pinang ditingkatkan secara drastik, dan (ii) keharmonian dan keterangkuman sosial di Pulau Pinang diperkukuhkan secara ketara. Hanya dengan kemajuan dalam ketiga-tiga bidang – kerancakan ekonomi, kesesuaian didiami dan kelestarian, serta pembangunan sosial – Pulau Pinang akan menjadi masyarakat yang seimbang yang akan dapat (i) memupuk penjanaan idea-idea bertaraf dunia, (ii) janaan pelaburan swasta untuk membolehkan idea-idea perniagaan membuahkan hasil, terutama di pasaran antarabangsa, dan (iii) menyediakan infrastruktur awam yang diperlukan untuk memastikan kebajikan sosial secara maksimum.
Hasil untuk Pulau Pinang daripada pelaksanaan Paradigma Pulau Pinang ialah menjadi negeri antarabangsa dan pintar. Malaysia perlu mengguna pakai program yang sama agar menjadi sebuah negara antarabangsa dan bijak.
Untuk merealisasikan potensi Pulau Pinang, Penang Institute berharap rakyat Pulau Pinang dan rakan-rakan di luar Pulau Pinang supaya member maklum balas kepada kami mengenai draf Paradigma Pulau Pinang ini. Pandangan anda adalah amat penting dalam membolehkan versi terakhir Paradigma Pulau Pinang dapat membantu rakyat di Pulau Pinang dan Malaysia untuk mencapai hasrat mereka kepada diri mereka sendiri, generasi akan datang, dan untuk dunia. Kami berkeyakinan dan percaya bahawa usaha merealisasikan usaha kecemerlangan ini terlaksana untuk generasi seterusnya.
PROFESOR DATUK WOO WING THYE
Pengarah Eksekutif, Institut Pulau Pinang, George Town
Profesor, Universiti California, Davis
Profesor Kehormat, Universiti Fudan, Shanghai
Profesor Cheung Kong, Central University of Finance and Economics, Beijing
Pengarah, East Asia Program of the Earth Institute at Columbia University, Kota New York
Felo Senior Bukan-Residen, Institusi Brookings, Washington D.C.