Press Releases

Kenyataan Akhbar mengenai Laporan Paradigma Pulau Pinang

Februari 8, 2013

Kenyataan Akhbar mengenai Laporan
Paradigma Pulau Pinang
disediakan oleh Penang Institute

Professor Datuk Woo Wing Thye
Pengarah Eksekutif, Penang Institute
wtwoo@penanginstitute.org

Penang Institute dalam masa terdekat akan membentangkan Paradigma Pulau Pinang, agenda pembangunan yang menyeluruh bagi Pulau Pinang untuk dekad yang akan datang, kepada Kerajaan Negeri, Persekutuan dan rakyat Pulau Pinang. Selepas sambutan Tahun Baru Cina yang akan datang, Penang Institute akan mengadakan pameran dan rundingan awam selama dua minggu di bahagian Pulau serta Seberang Perai untuk mengumpul maklumbalas umum.

Paradigma Pulau Pinang bertujuan memperkukuhkan tiga proses utama:

  • memulihkan dinamisma ekonomi Pulau Pinang;
  • meningkatkan kesesuaian untuk didiami di Pulau Pinang dan kelestarian alam semula jadi;
  • mempercepatkan pembangunan sosial di Pulau Pinang untuk menyemai keharmonian sosial dan meluaskan rangkuman sosial.

Dasar-dasar utama yang kami cadangkan untuk Pulau Pinang juga dapat digunapakai oleh Malaysia di peringkat kebangsaan dalam merencana ketiga-tiga proses sosio-ekonomi ini di seluruh negara.

Laporan Paradigma Pulau Pinang dimulakan dengan merungkai mengapa Pulau Pinang dan Malaysia terperangkap dalam perangkap pendapatan sederhana (iaitu gagal merapatkan jurang pendapatan dengan negara-negara kaya) untuk tempoh lima belas tahun yang lalu. Kemudian ia menggabungkan diagnosis ini dengan pengalaman antarabangsa dalam pertumbuhan ‘catch up’, terutamanya di Asia Timur dan Amerika Latin, untuk merumuskan kerangka pembangunan optimum kepada Pulau Pinang dan Malaysia serta menyediakan prinsip-prinsip operasi bagi pilihan dasar-dasar kerajaan.

Memahami Masa Lalu untuk Panduan Masa Depan
Kini terdapat beberapa organisasi yang telah menawarkan pelbagai rumusan untuk meningkatkan kadar pertumbuhan Pulau Pinang dan Malaysia. Kebanyakan rumusan lain tidak menyeluruh  dan kekurangan analitik kerana tidak membentangkan diagnosis mengapa kadar pertumbuhan ekonomi dalam tempoh 2000-2012 jauh lebih rendah daripada kadar pertumbuhan dalam tempoh 1984-1996. Tanpa penjelasan mengenai kelembapan pertumbuhan tersebut, sesuatu rumusan itu tidak mungkin berkesan kerana ia gagal untuk menangani pengaruh negatif yang kuat dalam situasi tempatan tertentu: Seseorang doktor yang bertanggungjawab tidak mungkin menentukan ubat terus dari buku teks tanpa memeriksa pesakit terlebih dahulu.

Paradigma Pulau Pinang bermula dengan pemerhatian asas bahawa pertumbuhan tinggi yang lestari dihasilkan apabila terdapat interaksi bersinergi antara tiga faktor asas berikut:

  • idea-idea, yang berdasarkan pengetahuan teori pembangunan umum dan keadaan tempatan, dan pada sikap bahawa kebebasan, maruah, dan keadilan merupakan hak asasi manusia;
  • pelaburan swasta, yang dijalankan dalam persekitaran pasaran yang berdaya saing dan diselia oleh kerajaan berwibawa;
  • infrastruktur awam, yang mengambil bentuk
    • infrastruktur lembut berkualiti tinggi seperti perkhidmatan awam yang tidak berasuah, dan program sosial progresif yang memperkasakan golongan kurang bernasib baik dengan kemampuan untuk meningkatkan taraf hidupnya;
    • infrastruktur keras yang hemat biaya seperti jalur lebar berkelajuan tinggi dan sistem ‘mass rapid transit’ yang menyeluruh.

Terdapat tiga kumpulan dasar negara yang sejak tiga dekad yang lalu telah menyebabkan Malaysia semakin mudah terperangkap dalam perangkap pendapatan sederhana (gagal merapatkan jurang pendapatan dengan negara-negara kaya), iaitu:

  • penyalahgunaan berterusan dalam dasar sosio-ekonomi yang berasaskan kaum;
  • pemusatan yang semakin melampau dalam proses membuat keputusan di peringkat Persekutuan;
  • peningkatan ketidaktelusan operasi pusat kerajaan (yang secara langsung menyumbang kepada penurunan dalam kualiti institusi tadbir urus, misalnya sistem kehakiman).

Khususnya, dasar sosio-ekonomi yang terbuka kepada penyalahgunaan oleh golongan kaya yang mempunyai hubungan politik telah menyumbang kepada (i) ‘brain drain’, yang telah mengurangkan keupayaan untuk menjana idea-idea yang bagus untuk perniagaan, tadbir urus, seni dan sastera; dan (ii ) kehilangan modal, yang telah mengurangkan kapasiti untuk membiayai pelaburan.

Tambahan pula, dalam tiga dekad yang lalu:

  • pola dalam pemusatan kuasa di peringkat Persekutuan telah mengurangkan kesempurnaan infrastruktur di luar KL / Putrajaya: Kerajaan Negeri tidak dibenarkan mengumpul dana untuk membiayai projek-projek infrastruktur tempatan, dan kebanyakan projek infrastruktur tempatan memerlukan kelulusan Persekutuan walaupun dibiayai sepenuhnya melalui sumber Negeri;
  • penurunan berterusan dalam ketelusan operasi kerajaan pusat telah menyebabkan kemerosotan jangka panjang dalam tadbir urus awam, misalnya kekurangan tender terbuka untuk projek-projek awam, dan keputusan Mahkamah Persekutuan pada tahun 2000 di bawah Tun Eusoffe Chin yang telah mempermudahkan urusan niaga harta yang dicuri (undang-undang tersebut ditukar hanya selepas hampir sedekad kemudian).

Antara kesan kepada Pulau Pinang dari pemusatan kuasa ini pada peringkat Persekutuan dan penurunan ketelusan dalam operasi kerajaan pusat adalah (i) kekurangan pelaburan kasar dalam infrastruktur fizikal, dan (ii) peruntukan tidak mencukupi untuk infrastruktur lembut; dimana kedua-duanya diperlukan untuk membolehkan pembangunan ekonomi dan mengekalkan kesesuaian kehidupan di Pulau Pinang.

Kesan negatif kepada pertumbuhan KDNK daripada ‘brain drain’, kehilangan modal, kekurangan infrastruktur keras, dan infrastruktur lembut yang tidak cukup taraf, tidak terserlah sebelum 1995 kerana ia telah diimbangi oleh FDI dalaman secara besar-besaran, dan oleh pelaburan negeri dan GLC yang besar, yang telah menjadi lebih lancar lantaran pertumbuhan pasca-1974 dalam hasil minyak dan gas.

Bagaimanapun, perkembangan globalisasi pasca-1990 kepada bekas empayar Soviet, India dan China telah menyebabkan sebahagian daripada FDI global yang diterima oleh Malaysia merosot dengan ketara. Penurunan penerimaan FDI global oleh Malaysia, bersama dengan daya kewangan Kerajaan Persekutuan dan GLC yang lebih lemah selepas bertahun-tahun salah urus, telah menyebabkan keruntuhan pelaburan pada tahun 2000, yang menjerat Malaysia dalam perangkap pendapatan sederhana bagi dekad dan separuh dekad yang lalu.

Program Transformasi Ekonomi (ETP) Kerajaan Persekutuan boleh dikritik kerana menyebabkan peningkatan jumlah pelaburan secara tidak lestari melalui projek-projek infrastruktur yang besar (contohnya MRT di Kuala Lumpur) dan pelaburan GLC. Kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2013 mungkin lebih tinggi tetapi ini mungkin hanya buat sementara. Penawar yang betul untuk kelesuan pertumbuhan Malaysia bukanlah rangsangan makro gaya ETP tetapi pembaharuan struktural gaya-Jerman Barat pasca Perang Dunia Kedua.

Penawar bagi Kemunduran Ekonomi Malaysia adalah untuk Mengamalkan Program Pembaharuan Akar-dan-Ranting yang telah dipelopori Pulau Pinang dan akan dilanjutkan sebagai Paradigma Pulau Pinang

Paradigma Pulau Pinang menekankan bahawa pemulihan dinamisma ekonomi sahaja tidak boleh menghasilkan pertumbuhan pendapatan tinggi yang berterusan di Pulau Pinang. Ini juga memerlukan (i) peningkatan drastik dalam taraf kesesuaian untuk didiami dan kelestarian alam sekitar di Pulau Pinang, dan (ii) pengukuhan keharmonian dan rangkuman sosial di Pulau Pinang. Hanya dengan kemajuan dalam ketiga-tiga bidang — kerancakan ekonomi, kesesuaian untuk didiami dan kelestarian, dan pembangunan sosial — Pulau Pinang akan menjadi masyarakat seimbang yang dapat (i) memupuk penjanaan idea bertaraf dunia, (ii) pengukuhan pelaburan swasta untuk merealisasi idea-idea perniagaan, terutamanya di pasaran antarabangsa, dan (iii) menyediakan infrastruktur awam yang diperlukan untuk memastikan manfaat maksimum dalam kebajikan sosial.

Bermula dari bulan Mac 2008, kerajaan negeri Pulau Pinang telah memperkenalkan tiga kumpulan dasar untuk mengurangkan kesan mudarat rejim dasar Persekutuan di Pulau Pinang:

  • menggantikan kapitalisma kroni dengan persaingan yang adil, misalnya tender terbuka untuk projek-projek awam;
  • memulakan desentralisasi dalam proses membuat keputusan, contohnya mendesak untuk pilihan raya pihak berkuasa tempatan;
  • menghentikan kemerosotan dalam kualiti perkhidmatan kerajaan, contohnya menggunakan prinsip CAT (kompetensi-akauntabiliti-ketelusan) dalam tadbir urus.

Komponen operasi Paradigma Pulau Pinang dibahagikan kepada strategi dan sasaran bagi (i) dinamisma ekonomi, (ii) kesesuaian untuk didiami dan kelestarian, dan (iii) pembangunan dan rangkuman sosial.  Dari 2013 dan seterusnya, Paradigma Pulau Pinang mencadangkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang perlu melaksanakan program-program yang mapan untuk:

  • mengukuhkan penjanaan idea kreatif di Pulau Pinang;
  • meningkatkan pelaburan swasta di Pulau Pinang dalam industri pembuatan hijau berteknologi tinggi dan industri perkhidmatan moden bernilai tinggi melalui kerjasama awam-swasta;
  • menaik taraf perkhidmatan awam dalam infrastruktur keras dan lembut.

Secara ringkasnya, teras Paradigma Pulau Pinang adalah untuk menjana pembangunan Negeri dan negara yang diterajui oleh ilmu pengetahuan. Oleh itu, antara tindakan yang pertama Paradigma Pulau Pinang adalah untuk mempercepatkan penjanaan idea kreatif di Pulau Pinang dengan:

  • meningkatkan pembentukan modal insan melalui:
    • pergerakan efektif bakat yang dilahirkan dalam keluarga berpendapatan rendah dengan membasmi kemiskinan,
    • peruntukan untuk membaikpulih sistem persekolahan;
  • memelihara modal insan dan menarik insan berbakat dari tempat lain melalui pengukuhan
    • amalan meritokrasi
    • pertumbuhan industri bergaji tinggi
    • kesesuaian untuk didiami dan kelestarian, dan
    • keharmonian sosial.

Hasil untuk Pulau Pinang daripada pelaksanaan Paradigma Pulau Pinang ialah menjadi Negeri antarabangsa dan pintar. Malaysia perlu mengguna pakai program yang sama agar menjadi sebuah negara antarabangsa dan pintar.

PROFESSOR DATUK WOO WING THYE
Executive Director, Penang Institute, George Town
Professor, University of California, Davis
Distinguished Professor, Fudan University, Shanghai
Cheung Kong Professor, Central University of Finance and Economics, Beijing
Director, East Asia Program of the Earth Institute at Columbia University, New York City
Non-Resident Senior Fellow, Brookings Institution, Washington D.C.