In The Mass Media

Dr M sampaikan syarahan ‘Ke mana M’sia’ di Pulau Pinang

mykini a122196b7c6b5c2c6ecd9faeff3d8d84

Syarahan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bertajuk ‘Quo Vadis, Malaysia?” (Ke mana Malaysia) akan dianjurkan oleh badan pemikir kerajaan negeri Pulau Pinang, Penang Institute pada 8 Mei ini.

Ia akan diadakan di Pusat Konvesyen Strait Quay dan ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang juga pengerusi PI akan menyampaikan ucaptama di majlis tersebut.

Menjadi tradisi bagi badan pemikir itu untuk menjemput personaliti terkenal seperti bekas Perdana Menteri Thailand Abhisit Vejjajiva dan bekas Presiden Indonesia Jusuf Habibie bagi berkongsi pandangan pada syarahan umum tersebut, kata Pengarah Eksekutif PI Zairil Khir Johari.

“Kini buat pertama kalinya, Penang Institute mempelawa Dr Mahathir bercakap di Pulau Pinang,” kata Zairil dalam satu sidang akhbar hari ini yang turut dihadiri Ketua Pegawai Operasi PI Tim-Niklas Schoepp dan pegawai eksekutif kanannya, Ong Siou Woon.

Institut itu telah memulakan inisiatif menubuhkan Pakatan Asean Bagi Urustadbir Bersih (ACCG) dan persidangnnya julung kali diadakan pada Jun 2012.

Pada masa itu, ia telah menjemput ramai pemimpin termasuk Abhisit, manakala Habibie yang memainkan peranan penting dalam demokrasi Indonesia dijemput pada Disember 2012 semasa syarahan kedua ACCG.

Mahathir adalah penceramah yang paling sesuai untuk bercakap mengenai topik ‘Quo vadis, Malaysia?’ kerana beliau perdana menteri Malaysia selama hampir 22 tahun, kata Zairil.

“Kami amat teruja dan ingin menjemput semua penduduk Pulau Pinang untuk menghadiri syarahan umum ini dan merebut peluang untuk bertanya soalan kepada bekas perdana menteri itu,” katanya.

Beliau juga menjangkakan ia menjadi kuliah terbesar yang dianjurkan oleh PI dengan lebih daripada 1,000 orang menghadiri majlis itu, lebih-lebih lagi tempat itu boleh menampung kira-kira 2,000 orang.

“Beliau akan bercakap mengenai masa depan negara kita. Orang ramai boleh mendapatkan banyak pemikiran penting daripada salah seorang yang (paling) berpengaruh di negara ini,” katanya.

Ditanya sama ada kuliah Mahathir akan menyentuh mengenai Deklarasi Rakyat, Zairil berkata bekas perdana menteri itu pasti akan menyebut isu itu.

“Walaupun dia tidak berkata apa-apa tentang itu, saya rasa penonton akan bertanya kepadanya,” katanya.

Source: https://www.malaysiakini.com/news/337660