Oleh: Nidhal Mujahid
Siri Syarahan Negara Idaman merupakan inisiatif bersama Penang Institute dengan Naratif Malaysia khusus untuk merungkai persoalan identiti kebangsaan yang menjadi persoalan penting di Malaysia pada hari ini. Untuk kali ini, kami mengundang Professor Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin, Pengasas-Pengarah Institute Kajian Etnik (KITA-UKM) ke Penang Institute. Syarahan yang bertajuk “Bangsa Idaman: Sebuah Kupasan Mengenai Usaha Merintis Malaysia Baharu” ini diulas oleh YB. Zairil Khir Johari, Felo Kanan Penang Institute dan Exco Kerjaraya, Utiliti dan Tebatan Banjir Pulau Pinang. Perbincangan berlanjutan selama lebih kurang dua jam dan dihadiri oleh seramai tiga puluh orang peserta.
Konsep “Bangsa Idaman” bukan suatu konsep baharu. Sejak tahun 1966 lagi, Robert Rotberg, seorang sarjana Amerika memperkenalkan konsep nations-of-intent ketika mengkaji nasionalisme orang Afrika. Malah di Malaysia, konsep yang sama juga digunakan oleh Rustam A. Sani pada tahun 1957 dalam mengkaji asal muasal gerakan Kiri Melayu. Shamsul sendiri menggunakan konsep bangsa idaman buat kedua kalinya di Malaysia pada tahun pada tahun 1996. Namun pada hemat beliau, Malaysia bukan sahaja masih mencari-cari ‘bangsa idaman’ yang ideal, malah perpaduan yang jelas masih menjadi suatu impian.
Pandangan terhadap konsep negara yang bercirikan wilayah dan bangsa adalah terhad. Dalam satu-satu wilayah, sempadan atau boundary tertentu, terdapat pelbagai perbezaan identiti, ciri-ciri budaya, dan juga citarasa. Menurut Shamsul, identiti berkumpulan atau ‘collective identity’ adalah bersesuaian dengan suasana kemajmukan masyarakat Malaysia. Selepas kejatuhan penjajah, wujud tiga keadaan di Asia Tenggara. Pertama, konsep satu negara bangsa dalam satu entiti seperti di Brunei. Kedua, negara tanpa bangsa seperti BangsaMoro. Ketiga, adanya entiti bangsa dan entiti negara seperti di Malaysia, Indonesia dan Singapura.
Di Malaysia, pembentukan bangsa terjadi dalam dua fasa iaitu sebelum dan selepas merdeka. Antaranya adalah konsep Melayu Raya yang digagaskan oleh pergerakan Kiri Melayu, konsep Negara Islam yang diperkenalkan oleh kelompok Islam, dan konsep masyarakat majmuk yang dipimpin oleh orang Melayu. Namun demikian, hanya konsep terakhir iaitu “Malay-led plural society” diterima oleh pihak British pada ketika itu. Hal ini dinatijahkan dengan terbentuknya CLC 1949 (Communities Liaison Committee 1949) yang diterima pakai sehingga kemerdekaan.
Selepas negara ini mencapai kemerdekaan, wujud keinginan untuk melahirkan satu konsep kenegaraan yang kolektif atau identiti nasional sepunya. Impian ini antaranya telah melahirkan konsep Malaysian Malaysia yang popular ketika tahun 1960 (diperkenalkan oleh Lee Kuan Yew ketika Singapura berada dalam persekutuan Tanah Melayu) dan akhir 1990 (pada era pemerintahan Mahathir Mohamad).
Selain daripada itu, pembangunan bangsa selepas merdeka turut melahirkan konsep-konsep lain seperti Wawasan 2020 dan Gagasan 1 Malaysia. Malah di Borneo, wujud konsep seperti Sabah for Sabahan, dan Sarawak for Sarawakian. Walau bagaimanapun menurut Shamsul, konsep-konsep yang wujud di Borneo ini dicetuskan oleh kelompok strategi internet dengan bantuan sosial media dan tidaklah popular dalam konteks yang lebih umum.
Bangsa Dalam Malaysia Baharu
Shamsul menegaskan bahawa, pembangunan bangsa pasca PRU14 tidak banyak mengalami perubahan. Kepimpinan Mahathir mengekalkan konsep “Malay-led plural society”. Dalam konteks hari ini, konsep bangsa idaman inilah yang diangkat oleh parti-parti politik seperti Bersatu, UMNO, dan PAS.
Menurut beliau, dalam aspek hubungan kemasyarakatan di dalam konteks Malaysia Baharu ini, penekanan banyak diberikan kepada hubungan antara kaum atau “inter-ethnic” tetapi meminggirkan peri penting hubungan dalam kaum atau “intra-ethnic”. Kepelbagaian dan perbezaan yang wujud antara kaum di negara ini adalah sesuatu yang perlu diraikan. Namun, menurut Shamsul, kita sering melihat perbezaan-perbezaan ini dalam dikotomi yang negatif, bukannya positif. Perbezaan menjadi sesuatu yang perlu dilawan, bukannya disyukuri.
Bagi Zairil Khir Johari, politik era Malaysia Baharu masih lagi dibelenggu oleh konflik politik identiti yang dimanifestasikan antaranya dalam isu ICERD, hudud, negara Islam dan yang terbaharu, isu tulisan jawi. Tambahan lagi, isu-isu ini digerakkan dengan emosi dan jauh daripada logik.
Dalam artikel yang bertajuk “The Great Malaysian Dichotomy”, beliau memetik bahawa terdapat dua naratif besar yang dipegang oleh masyarakat Malaysia secara umum. Kelompok pertama ialah masyarakat yang mempercayai pembangunan Malaysia dibina atas teras kebudayaan Melayu yang dominan. Dalam kepercayaan ini, identiti etnik lain tidak dilihat begitu penting dan mereka harus mengakui akan ketuanan Melayu dalam masyarakat Malaysia. Mereka ini juga mempercayai perlembagaan Malaysia tetapi berpaksikan kedudukan Melayu dan Islam yang dominan.
Kelompok kedua pula berpegang kepada idea Malaysian Malaysia. Mereka beranggapan bahawa kemerdekaan pada tahun 1957 merupakan satu ‘reset button’ dimana semua identiti adalah setara dan menafikan kebudayaan dan sejarah terdahulu. Seperti juga kelompok yang pertama, mereka juga mempercayai perlembagaan Malaysia yang sama namun beliau mentafsirkan bahawa perlembagaan itu bersifat sekular dan tidak memihak kepada mana-mana kaum atau etnik.
Menurut Zairil, kita masih lagi terperangkap dalam kerangka kolonial dalam membentuk sebuah masyarakat Malaysia. Hal ini hanya berlaku di Malaysia. Sub-etnik Jawa di Malaysia misalnya bangga mengklasifikasikan diri mereka sebagai Melayu, tetapi jika dilihat rantau Nusantara orang Jawa tidak mengidentitikan diri mereka sebagai Melayu.
Persoalan yang dibangkitkannya adalah tentang cara yang boleh dimanfaatkan untuk membentuk identiti bersama. Menurutnya, jalan penyelesaian tidak hanya dalam bentuk praktis sahaja malah boleh menjadi normatif. Gagasan Bangsa Idaman seharusnya menjadi titik pertemuan antara golongan tradisional yang jumud serta golongan sekular yang menganggap detik kemerdekaan sebagai ‘reset button’ dimana semua etnik mempunyai hak yang sama. Walau bagaimanapun, hal ini mestilah bernuansakan sejarah yang berlaku termasuklah reformasi yang terjadi dua puluh tahun dahulu dan juga Malaysia Baharu yang baru sahaja dikecapi.