In The Mass Media

Festival cetus ilham baru

Wartawan Sinar Harian
22 Disember 2012

p-ramleeGEORGETOWN – Penang Institute mengambil inisiatif anjurkan Festival P Ramlee Pulau Pinang dari 11 Disember hingga 13 Januari depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zairil Khir Johari berkata, objektif program itu adalah untuk menyegarkan kembali ingatan dan mencetuskan ilham baru mengenai hasil karya P Ramlee dan hubungan dengan negeri kelahirannya.

Beliau berkata, program itu dijangka mencapai kesemua lapisan masyarakat di setiap pelosok negeri termasuk pertandingan esei, forum, tahlil, pesta rakyat yang akan berlangsung sepanjang hari di Balik Pulau, pameran peringatan khas dan malam kemuncak sambutan 13 Januari 2013.

“Ini adalah kesinambungan kepada usaha Kerajaan Pulau Pinang meraikan keragaman budaya melalui program seperti Festival Tahunan George Town yang kini sudah tercatat sebagai tarikan penting dalam kalendar pelancongan dunia,” katanya.

Menurutnya,  jika Venice – sebuah kota pelabuhan sebagaimana Pulau Pinang – boleh berbangga dengan Marco Polo, Kota Florance pula megah dengan Leonardoda Vinci dan Kota Bukhara masyhur dengan Ibnu Sina, apa kurangnya Pulau Pinang?

“Kita punya Syed Sheik al-Hadi (tokoh pencerahan & percetakan), Datuk Ahmad Nawab (penggubah lagu), P Ramlee (Seniman Negara) dan Nordin Ahmad (hero filem klasik Melayu), serta Datuk Nordin Hassan dan Prof Muhammad Salleh (Sasterawan Negara).

“Mereka adalah seniman yang sangat akrab dengan perkembangan kebudayaan bukan sahaja Pulau Pinang, malah Malaysia dan rantau Nusantara ini,” katanya.

Zairil berkata, sejak penghujung tahun lalu, Penang Institute memperkenalkan program Forum Nusantara bertujuan ketengahkan pan-dangan alam dan budaya fikir cendikiawan, budayawan dan sasterawan berkait dengan Pulau Pinang serta kebudayaan Nusantara secara am.

Objektif program ini adalah untuk menyegarkan kembali ingatan dan mencetuskan ilham baru mengenai hasil karya P Ramlee dan hubungannya dengan negeri kelahirannya.

Maklumat lanjut mengenai pertandingan esei dan program Festival P Ramlee Pulau Pinang boleh didapati di www.penanginstitute.org.

Source: http://www.sinarharian.com.my/hiburan/festival-cetus-ilham-baru-1.114585