Highlights at Penang Institute

Syarahan Persilangan Identiti Nasional: Persoalan Gender, Agama dan Citarasa

Siri Syarahan Negara Idaman merupakan satu inisiatif bersama Penang Institute dan Naratif Malaysia bagi merungkai dan memetakan bentuk perkembangan nasionalisme selepas berlakunya perubahan tampuk pemerintahan pada 9 Mei 2018. Syarahan pertama bagi Siri Syarahan Negera Idaman yang diadakan pada 17 Julai 2019 lalu telah dimulakan oleh Dr. Maznah Mohamad dengan tajuk Persilangan Identiti Nasional: Persoalan Gender, Agama, dan Citarasa.

Dalam syarahan ini, Maznah menghujahkan bahawa politik identiti bukanlah suatu perkara baharu di Malaysia. Sejak negara ini mencapai kemerdekaan lagi, masyarakatnya telah dipecahkan mengikut identiti kaum. Malah, identiti yang berasaskan kaum ini telah menjadi bentuk identiti yang paling dominan sehingga ke hari ini. Akibatnya, dasar-dasar dan mobilisasi politik yang dirancang oleh pihak kerajaan dan parti-parti politik adalah berdasarkan kerangka kaum.

Berangkat daripada hujah bahawa sifat identiti adalah pelbagai dan berubah-ubah, maka konsep intersectionality atau persilangan perlu diketengahkan dan difahami dengan baik. Menurut Maznah, setiap orang memiliki pelbagai jenis identiti, bukan hanya satu identiti yang berasaskan kaum atau etnik sahaja. Disebabkan identiti berasaskan kaum adalah lebih dominan, maka identiti-identiti lain seperti gender, agama, citarasa, seksualiti dan sebagainya yang terdapat pada seseorang seringkali tidak diambil kira.

Konsep persilangan identiti yang diperkenalkan oleh Kimberle Crenshaw ini merupakan satu mekanisme untuk memahami kerumitan identiti. Dengan mengambil contoh pengalaman diskriminasi yang dihadapi oleh wanita kulit hitam di Amerika, konsep persilangan menekankan bahawa pengalaman yang dihadapi oleh wanita kulit putih dan kulit hitam di Amerika adalah berbeza kerana kedua-kedua kelompok wanita ini adalah dari dua kumpulan etnik berbeza.

Di Malaysia, identiti masyarakat ‘Melayu’ sendiri adalah pelbagai dan tidak hanya boleh disandarkan kepada satu kelompok perwakilan sahaja. Maznah misalnya mengambil contoh wanita UMNO yang memiliki identiti keMelayuan yang berbeza berbanding dengan identiti keMelayuan muslimat PAS. Jadi kedua-dua kelompok ini tidak boleh dianggap sebagai mendominasi atau penanda identiti Melayu.
Menurut Maznah, konsep persilangan ini melihat kerangka konstruktif identiti di dalam masyarakat dengan lebih jelas tanpa meminggirkan mana-mana identiti kecil yang lain. Upaya untuk mengangkat konsep persilangan ini menurutnya merupakan upaya untuk memecahkan dominasi identiti yang lebih dominan iaitu kaum ataupun etnik.

Konsep persilangan ini menurutnya sangat penting untuk diterapkan dalam proses pembentukan dasar di negara ini. Hal ini kerana, persilangan memberi tumpuan terhadap kepelbagaian identiti kecil dan khusus dalam masyarakat. Bagi kerajaan, perkara ini sudah tentunya merupakan satu cabaran yang besar.

Syarahan yang dirasmikan oleh Yb. Zairil Khir Johari, Felo Penyelidik Penang Institute merangkap Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir Negeri Pulau Pinang.ini dihadiri oleh seramai 50 orang peserta.