Past Events
7Nov2020

Politik Rakyat: Merentas Sentimen dan Identiti

YB Adly Zahari, perbualan bersama YB Steven Sim

Tarikh: 7 November 2020, Sabtu
Masa: 3.00 petang
Tempat: Siaran langsung di Facebook Penang Institute: @penanginstitute
Tiada pendaftaran diperlukan.

Politik atau siasah adalah tentang kuasa. Melalui kuasa maka persoalan siapa mendapat apa, bila, dan bagaimana kemudiannya di jawab. Pertanyaan inilah yang diajukan sejak pertama kali manusia membentuk keluarga. Dalam sistem demokrasi seperti yang diamalkan di negara ini, proses Belanjawan adalah salah satu contoh bagaimana persoalan ini di jawab. Namun, kuasa sifatnya ibarat candu; ketagihnya boleh membuak-buak. Untung sabut timbul, untuk batu tenggelam. Kalau beruntung, hadirlah damai, kalau malang terjadilah sengketa di hujungnya. Biarpun demikian, kuasa tak diraih jika tiada bahan bakarnya. Seperti mana yang terjadi di negara ini malah di belahan dunia yang lain, yang menjadi bahan bakarnya seringkali adalah identiti. Agama dan kaum pada titik ini di bawa masuk ke ranah politik. Namun, selain bersifat pukul rata, identiti serta sentimen etnik dan agama juga mampu untuk mewujudkan politik pengecualian sekali gus memecahbelahkan masyarakat. Apakah seperti ini realiti politik di peringkat bawah? Atau politik identiti hanya alat segelintir pemain utama politik? Bersama YB Adly Zahari dan YB Steven Sim berbicara mengenai keperluan untuk keluar daripada politik sentimen dan identiti, dan mengupas cara untuk menggalakkan politik yang lebih matang di negara ini.

Biodata

YB Tuan Haji Adly Zahari adalah mantan Ketua Menteri Melaka (2018-2020) dan juga Adun Bukit Katil. Beliau adalah ahli politik Malaysia berbangsa Melayu daripada Parti AMANAH Negara Nasional. Kini, beliau merupakan Bendahari Parti AMANAH Negara Nasional dan Pengerusi Parti Amanah Negara Negeri Melaka. Pada 24 September 2017, beliau telah dilantik sebagai Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Melaka.

Adly berkelulusan Ijazah Kejuruteraan Elektrik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan kemudiannya Adly menjadi seorang jurutera dan pentadbir beberapa syarikat korporat sebelum menceburkan diri dalam bidang perniagaan. Adly pernah memegang beberapa jawatan termasuk Pesuruhjaya Pas Melaka, Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri, Exco Dewan Pemuda PAS Pusat, Setiausaha PAS Melaka, Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Negeri dan bekas Yang Dipertua PAS Kawasan Alor Gajah.

YB Steven Sim ialah ahli parlimen Bukit Mertajam dan Ahli Lembaga Pengarah Penang Institute. Beliau merupakan mantan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Malaysia. Sim juga seorang penggemar sastera dan telah menerbitkan sebuah antologi puisi Bahasa Melayu.

SOROTAN ACARA