Past Events
11Aug2018

Bual Nusantara: Reformasi dan Malaysia Baharu

Pada bulan September tahun 1998, Mahathir Mohamad yang pada ketika itu merupakan Perdana Menteri Malaysia keempat, telah menghantar ke penjara sekali gus mengakhiri riwayat politik orang kanannya, Anwar Ibrahim. Beliau memilih langkah yang tidak pernah ia bayangkan akibatnya. Rakyat yang gempar dengan berita ini menyambutnya dengan keras, mereka menyatakan rasa kecewa dengan bersama-sama ke jalan raya.

Kita mendengar gema kata keadilan yang bersahutan di seluruh negara, menuntut pembelaan terhadap pemimpin nombor dua negara dan sosok yang disanjung sebagai tokoh kebangkitan asia itu. Benih yang disebut sebagai Reformasi ditanam dan rakyat mendesak agar Mahathir yang sudah dua dekad berkuasa untuk turun dari takhta.

Ulang tahun kedua puluh Reformasi disambut dengan jatuhnya Barisan Nasional, dan ironinya, setelah kembali berkuasa, Mahathir sendiri membuka pintu jeriji Mahathirisme yang selama ini mengurung Anwar. Politik negara setelah dua dekad peristiwa kebangkitan rakyat ini ditulis dengan kisah sosok-sosok politik yang sebelum ini musuh, namun kemudian berlayar dengan kapal sama. UMNO-BN yang enam puluh tahun berkuasa, kini rebah hanya melalui undi rakyat. Yang terpenjara, kini bebas, dan yang bebas menanti dipenjara.

Atas dasar semangat dan jutaan impian Malaysia Baharu, kita bertanya kembali apakah erti Reformasi yang kita fahami pada hari ini. Adakah gema terakhir laungan Reformasi sudah terhenti ketika rakyat mengambil-alih pemerintahan pada pilihan raya yang lalu? Ataukah Reformasi difahami sebagai satu proses tanpa henti untuk pembaikan politik negara? Wajah Malaysia yang bagaimana yang akan kita bangunkan melalui agenda Reformasi?

Bual Nusantara kali ini ingin mengajak anda untuk bersama-sama dengan persona-persona di belakang gerakan Reformasi, merungkaikan kembali makna Reformasi yang kita fahami selama ini, khususnya dalam aspek politik dan sosial. Perincian acara adalah seperti berikut:

Tarikh: 11 Ogos 2018 (Sabtu)
Masa: 8.00 malam – 10.00 malam
Tempat: Penang Institute
Ahli Panel: Yb. Nurul Izzah, Khairul Anuar (Jonah)
Perantara: Mohd Izzuddin Ramli

*Tempat adalah terhad.