Sepertimana para rabai dan para ulama yang berkelana menyebar ayat-ayat Tuhan, begitulah juga dengan kegiatan penterjemahan kesusasteraan. Peranannya bukan kecil dan pantang dipandang sebelah mata. Penterjemah menjadi jambatan, menghubung kebudayaan-kebudayaan di dunia dan menyumbang kepada kekuatan sesebuah ketamadunan. Di Pulau Pinang, kegiatan penterjemahan kesusasteraan bukanlah hal yang baru seperti benih kelulut yang baru mahu ditabur. Tetapi sudah berakar, berimbun dan menabur hasil kepada anak-anak nusa.
Teks-teks terjemahan oleh para penterjemah dari pelbagai kelompok sosial seperti Chan Kim Boon, penterjemah dari kelompok Peranakan, Syed Sheikh al-Hadi dari kelompok intelektual Kaum Muda dan ramai lagi menjadi penanda keunggulan negeri ini suatu ketika dahulu dalam kegiatan penterjemahan. Dari bahasa Arab ke bahasa Melayu, bahasa Cina ke bahasa Inggeris, jejak-jejak kebudayaan yang dipandu oleh kegiatan terjemahan sudah bercabang-cabang dan bersimpang siur sifatnya.
Namun, kita tidak mahu untuk lemas terperangkap dalam romantisme masa lalu. Hanyut merindui warna-warni masa silam yang makin kabur dari mata. Sejarah harus dipelajari untuk menuntun jalan-jalan ke depan kita. Keunggulan kegiatan terjemahan kesusasteraan di Pulau Pinang suatu ketika dahulu perlu diambil iktibar untuk kita menyusun dan membinanya kembali pada hari ini. Jika negeri ini suatu ketika dahulu menjadi rahim darinya lahir pelbagai karya asli dan terjemahan, bagaimana pula wujudnya hari ini? Apakah kegiatan dan karya terjemahan yang dahulunya dijulang-julang sudah hilang harganya?
Sejak negara ini mencapai kemerdekaan, kegiatan kesusasteraan khususnya penterjemahan mula beralih tempat ke Kuala Lumpur. Di sana, syarikat-syarikat penerbitan dan percetakan tumbuh bagai cendawan selepas hujan bagi menampung keperluan kota itu sebagai sebuah kota pentadbiran dan perdagangan. Penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) kemudiannya merancakkan lagi kegiatan ini. Hal ini lebih-lebih lagi apabila penubuhan DBP khususnya adalah untuk mengangkat martabat bahasa Melayu serta menggalakkan lagi penerbitan karya-karya asli berbahasa Melayu dalam pelbagai bentuk.
Pulau Pinang perlahan-lahan meninggalkan jejak-jejak keunggulannya sebagai hab intelektual yang terkemuka di rantau ini. Gedung-gedung penerbitan dan percetakan terganti dengan perusahaan-perusahaan lain yang lebih dekat dengan permintaan semasa. London Missionary Press misalnya, pernah menjadi syarikat penerbitan yang agung di Pulau Pinang pada tahun 1806. Begitu juga dengan percetakan litografi Melayu terawal banyak beroperasi di Lebuh Acheh sekitar tahun 1860-an.
Nama seperti Haji Putih b. Shaikh Abu Basyir, seorang penterjemah berketurunan Jawi Peranakan, pemilik kedai buku dan syarikat percetakan Freeman Press serta penterjemah merupakan sosok yang banyak menyumbang kepada kegiatan kesusasteraan di Pulau Pinang suatu ketika dahulu. Criterion Press milik Lim Seng Hooi yang memperkenalkan surat khabar Jawi dan melahirkan surat khabar seperti Bintang Timor, dan kemudiannya ditukar nama kepada Cahaya Pulau Pinang juga antara nama yang perlu disebutkan.
Negeri ini melalui suatu tempoh kebekuan dalam kegiatan kesusasteraan ketika ramai penterjemah mahupun penulis memilih jalan masing-masing yang rata-ratanya lebih bersinar di luar Pulau Pinang. Ada juga yang berlayar ke seberang laut memperjudikan nasib. Kegiatan penterjemahan kian layu dengan karya-karya terjemahan yang lahir dari negeri ini semakin berkurang hari demi hari. Barangkali alat-alat pemindahan budaya tidak lagi semata-mata melalui penterjemahan. Muzik, filem dan budaya-budaya pop yang lain telah mengambil alih peranan ini.
Kebekuan ini perlu dicairkan. Kekosongan yang telah lama ditinggalkan perlu kembali diisi. Dengan jumlah penduduk hampir dua juta orang dari bermacam latar belakang etnik dan budaya, negeri ini memiliki potensi yang besar di dalam kegiatan kesusasteraan, tidak hanya kesusasteraan bahasa Melayu malah Inggeris, Cina, India dan pelbagai lagi. Hal ini lebih meyakinkan apabila kadar celik huruf Pulau Pinang adalah yang ketiga tertinggi di Malaysia iaitu sebanyak 93.8 peratus. Penulis-penulis asal Pulau Pinang juga tidak sedikit jumlahnya. Nama-nama baru dan lama seperti Tan Twan Eng dengan novel The Gift of Rain, Farish A. Noor, Steven Steel, Sandy Gall dan ramai lagi diraikan di pentas dunia.
Penganjuran acara tahunan George Town Literary Festival oleh kerajaan negeri Pulau Pinang adalah langkah baik dalam mengembalikan kegemilangan ini apatah lagi pada tahun 2016 festival ini sudah menganjurkan wacana penterjemahan yang dikendalikan di dalam bahasa Melayu. Siri forum Bual Nusantara yang dianjurkan oleh Penang Institute di bawah tajuk “Kegiatan Penterjemahan di Pulau Pinang: Dahulu dan Hari ini” dengan membawa seorang sasterawan negera terkemuka, Prof. Emeritus Dr. Muhammad Hj. Salleh baru-baru ini adalah antara langkah lain yang perlu dipuji. Dalam siri ini, sejarah penterjemahan dan kegiatan kesusasteraan Pulau Pinang digali kembali. Langkah dan cadangan difikirkan bersama untuk memperkukuhkan kembali kegiatan penterjemahan kesusasteraan.
Sudah tiba masanya untuk Pulau Pinang mengembalikan status hab intelektual yang pernah dipegangnya sebelum ini.