Past Events

15 Oct’16 – Keresahan Orang Melayu Dalam Keberagaman Masyarakat

keresahan orang melayu

Penang Institute berbangga untuk sekali membawa kepada anda siri Bual Nusantara ketiga yang bertajuk “Keresahan Orang Melayu dalam Keberagaman Masyarakat“. Siri Bual Nusantara ini merupakan sambungan daripada Forum Nusantara kami yang terdahulu dengan tujuan untuk mengupas isu-isu dalam lingkungan Nusantara baik dalam tema sejarah, budaya, sastera sehinggalah ke isu semasa. Di dalam siri Bual Nusantara ini kami mengundang tokoh-tokoh terkemuka, ahli-ahli akademik serta para budayawan untuk mengupas setiap tajuk yang kami bawakan. Tuan/puan dijemput untuk menghadiri forum ini seperti ketetapan di bawah:-

Tarikh    : 15 Oktober 2016 (Jumaat)
Masa      : 8.00 mlm (Pendaftaran bermula pada 7.30 mlm)
Tempat  : Dewan Penang Institute, No. 10, Jalan Brown, 10350 George Town

Kehidupan dalam masyarakat majmuk seperti dalam konteks Malaysia pada hari ini memerlukan setiap warganya untuk memiliki sikap saling memahami dan hormat-menghormati antara satu sama lain bagi memastikan keharmonian hidup bersama terus terjaga. Manakan tidak, akhir-akhir ini kita seringkali dihadapkan dengan pelbagai isu atau insiden yang seringkali berbau perkauman, baik yang menyentuh aspek ekonomi, pendidikan mahupun politik. Keadaan menjadi lebih parah apabila ada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dengan sengaja menyemarakkan lagi api perkauman, membina tembok pemisahan dan menebalkan lagi garis perbezaan antara warganegara. Hal ini antara lain terjadi disebabkan oleh tebalnya sifat syak wasangka, kebencian yang membuta tuli dan sikap tidak rasional kita antara satu sama lain.
 
Dalam konteks masyarakat Melayu di negara ini misalnya, kita dapat lihat bahawa wujudnya nada-nada keresahan orang Melayu terutama sekali apabila berhadapan dengan kehadiran ‘orang lain’. Kelesuan dan kemunduran yang seringkali ditempelkan terhadap Melayu seringkali ditanggapi dengan cara kita menunding jari kepada ‘orang lain’ dan bukannya kepada diri sendiri. Akhirnya kita hidup dalam penuh kerisauan dan melihat ‘orang lain’ sebagai ancaman ataupun musuh yang pada bila-bila masa mampu menerkam dan meragut segala yang ada. Apakah ini benar atau sebenarnya ia hanyalah masalah ketidakyakinan kita pada diri sendiri? Atau adakah keresahan ini satu mainan politik yang direka untuk kepentingan politik pihak tertentu?
 
Oleh yang demikian, Penang Institute ingin mengajak orang ramai untuk mengikuti siri ketiga Bual Nusantara yang akan cuba untuk mengupas secara akademik khusus terhadap subjek Melayu dan menyelami punca-punca keresahan orang Melayu dalam pelbagai aspek ini.

Tuan-tuan/ puan-puan yang berminat untuk menghadiri Bual Nusantara ini disarankan untuk mendaftar di sini memandangkan tempat duduk adalah terhad. Sekian, terima kasih.