Past Events

18 Sept’16 – Seni Dalam Masa Gelora: Peranan Seniman Dalam Ketidaktentuan Politik

seni dalam masa gelora

Penang Institute berbangga untuk memperkenalkan siri ceramah dalam Bahasa Melayu kami yang baru yang bertemakan Bual Nusantara. Siri Bual Nusantara ini merupakan sambungan daripada Forum Nusantara kami yang terdahulu dengan tujuan untuk mengupas isu-isu perkembangan Nusantara dari segi sejarah sehinggalah ke isu semasa. Maka, Penang Institute dengan berbesar hati ingin menjemput tuan-tuan dan puan-puan sekalian untuk menghadiri siri Bual Nusantara pertama yang bertajuk Seni dalam Masa Gelora: Peranan Seniman Dalam Ketidaktentuan Politik bersama Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said yang bakal diadakan seperti butiran berikut:-

Tarikh    : 18 September 2016 (Ahad)
Masa      : 2.30 ptg – 4.30 ptg (Pendaftaran bermula pada 2.00 ptg)
Tempat  : Dewan Penang Institute, No. 10, Jalan Brown, 10350 George Town

Perdebatan tentang fungsi seni dalam masyarakat bukanlah suatu hal yang baru. Sejak sekian lama kekuatan gagasan seni untuk seni yang melihat seni sebagai suatu hal yang harus dinikmati sahaja dan terlepas dari tanggungjawab sekelilingnya merebak ke salur darah dan batang tubuh sehingga menjadi ideologi bagi kebanyakan seniman.

Tentunya ini menjadi suatu hal yang tidak menyenangkan. Maka sejak tahun 1950-an lagi, bergemalah gagasan seperti “Seni untuk Masyarakat” oleh para sasterawan khususnya mereka yang datang dari kumpulan sasterawan Asas 50. Gagasan ini menjadi sebuah kritik terhadap seni yang dilihat sebagai suatu yang hanya mampu mengkhayalkan, tetapi sebaliknya ia menjadi alat untuk menggerak, memajukan dan mengubah nasib masyarakat.

Para seniman bukan sekadar menjadi pengkarya sahaja, terperuk dalam dunia seni dan sasteranya yang wangi-wangi dan berbunga-bungaan. Seniman khususnya sasterawan memainkan peranan jauh lebih daripada itu, bergelumang di dalam bencah politik, mencubit dan kadang-kala menempelak lenggang-lengguk dan tepuk tari para penguasa.

Namun pertanyaannya adalah, apakah seni kita hari ini masih tajam matanya dan kuat bisanya? Di mana letaknya seni dalam menghadapi ketidaktentuan politik pada hari ini? Sejauhmana seni mampu untuk menggerakkan dan menyedarkan masyarakat dan bagaimana seni bertindak balas terhadap isu-isu seperti rasuah, ketidakadilan, penindasan yang dihadapi oleh masyarakat kita hari ini?

Gagasan “Seni untuk Masyarakat” tampaknya perlu direnung kembali lebih-lebih lagi dalam masyarakat yang meletakkan seni pada kedudukan yang rendah dan tiada nilainya. Oleh yang demikian, Penang Institute di bawah siri Bual Nusantara ingin mengajak orang ramai untuk kembali terjun ke dalam perdebatan yang penting ini.

Tuan-tuan/ puan-puan yang berminat untuk menghadiri Bual Nusantara ini disarankan untuk mendaftar di sini memandangkan tempat duduk adalah terhad. Sekian, terima kasih.