Past Events

9 May’15 – Festival P.Ramlee Pulau Pinang 2015

festival p ramlee 2015

9 Mei 2015 (Sabtu), 8-10pm, Hotel Seri Malaysia, Bayan Baru, Pulau Pinang

Festival P.Ramlee kini kembali! Sebagai pembuka tirai, sebuah forum bertajuk ‘Hiburan dan Kritikan: Seniman, Seni dan Keadilan Sosial Dalam Filem P. Ramlee’ akan diadakan untuk festival ini yang kini berada di tahun ketiga. Festival ini bertujuan memartabatkan karya seni lagenda P. Ramlee dan meraikan bakat penggiat seni di Pulau Pinang.
 
Bagi memeriahkan lagi festival ini, Penang Institute secara berbesar hati menjemput anda ke festival seperti yang berikut:

TAJUK: Hiburan dan Kritikan: Seniman, Seni dan Keadilan Sosial Dalam Filem P. Ramlee
TARIKH: 9 Mei 2015- Sabtu
MASA: 8-10pm
TEMPAT: Hotel Seri Malaysia, Bayan Baru, Pulau Pinang
 
Tanggal 29 Mei 1973 adalah tarikh perginya seniman agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Beliau meninggalkan kita dengan karya-karya seni yang cukup kaya untuk dinikmati oleh generasi yang terkemudian. Hasil karya seni anak jati Pulau Pinang ini tidak berhenti setelah pemergiannya, malahan terus hidup untuk dipertonton, didengar dan diwacanakan. Sebagai sokongan kepada kesungguhan Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk mengangkat kembali tokoh besar seni negara yang juga anak jati Pulau Pinang, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Penang Institute mengambil inisiatif untuk menyegarkan kembali ingatan dan mencetuskan ilham-ilham baharu mengenai hasil kerja P. Ramlee dan hubungannya dengan masyarakat Pulau Pinang, serta Malaysia amnya.
 
Karya-karya P. Ramlee tidak hanya dibahas daripada sudut seni filem dan nyanyian semata-mata, malah menjangkaui tema-tema besar berkenaan realiti sosial masyarakat dan cerminan zamannya.

Forum ini adalah sebahagian daripada program festival ini yang bercorak intelektual yang bertujuan mengupas permasalahan sosial yang cuba diketengahkan oleh P. Ramlee dalam filemnya. Seniman agung ini terkenal dengan bakatnya yang berjaya membuat penonton tidak kering gusi akibat lucunya filem beliau, tetapi dalam masa yang sama beliau juga berjaya membuat teguran atau kritikan sosial. Pada kali ini, kita memilih tema keadilan sosial yang terserlah dalam sebilangan filem yang dihasilkan oleh seniman agung ini. Konflik kelas sosial, misalnya, muncul sama ada dalam filem komedi P. Ramlee maupun filem seriusnya, selain daripada menyentuh masalah kemiskinan dalam masyarakat zaman beliau. Sejauh manakah beliau berjaya mengupas persoalan keadilan sosial dalam filemnya?

ATURCARA:
7.45 malam – Pendaftaran dan Jamuan
8.30 malam – Ucapan Aluan oleh Zairil Khir Johari, Pengarah Eksekutif Penang Institute        
8.40 malam – “Hiburan dan Kritikan: Seniman, Seni dan Keadilan Sosial Dalam Filem P. Ramlee”
Ahli Panel
1. Dr. Mahyuddin Ahmad
2. A.Samad Said (Sasterawan Negara)
3. Hassan Muthalib

Moderator
1.    Dr. Ngo Sheau Shi
 
10.00 malam – Sesi soal jawab & perbincangan
10.30 malam – Penyampaian cenderamata

Memandangkan tempat duduk adalah terhad, individu yang berminat diingatkan membuat pendaftaran lebih awal.

Untuk sebarang pertanyaan, sila emel ke secretariat@penanginstitute.org.

Online Registration