Past Events
20Nov2019

Jatidiri dalam Masyarakat Majmuk: Dulu, Kini dan Ke Depan

Kemajmukan dalam proses sejarah dan budaya sudah berlangsung lama dalam masyarakat kita. Dalam proses itu, jatidiri kita sebagai suatu kelompok etnik/suku/agama terus dicorak oleh perjalanan sejarah, kondisi sosial, tampungan ekonomi, pertembungan budaya dan sumber tradisi yang sering pasang dan surut dinamikanya. Kemajmukan tidak dapat tidak mencorak dan memperkaya jatidiri seseorang atau sekelompok. Namun kecenderungan tertentu, baik bertolak dari kepentingan politik, kekuasaan yang diusung pula oleh gaya pemikiran tertentu, menjadikan kemajmukan ditepis kerana terdapat andaian bahawa keautentikan budaya harus dipertahan dan kemajmukan itu adalah rintangannya.

Syarahan ini cuba merungkai persoalan keghairahan dan kepedulian tentang jatidiri yang kian eksklusif dan taksub. Persaingan ideologi semasa akhirnya membuat takrif kepada jatidiri semakin sempit, malah galak eksklusivismenya. Makanya terpanggil kita untuk merungkai permasalahan ini, dengan mencari sebab-musabab mengapa penyempitan ini berlaku, dan apakah pula kesan kepada kehidupan bermasyarakat, selain menyarankan bagaimana dapat kita keluar dari sesakan dan gasakan idea dan pemikiran yang regresif ini. Maka dianjurkan suatu penggubalan pedagogi kemajmukan yang sayugia kita bina lewat pendidikan kewarganegaraan dan pedogogi keadilan sosial. Inilah antara ikhtiar selain pertanggungjawaban kita, setidaknyapun memahami dan menyedari akan akibat dari kejatidirian sebegini yang akhirnya melenyapkan sisi manusiawi kita.

Pembicara: Dr. Azhar Ibrahim, Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura
Ucapan Perasmian: YB Zairil Khir Johari, Felo Kanan Penang Institute dan Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir Pulau Pinang.
Moderator: Mohd. Izzuddin Ramli
Tarikh: 20 November 2019 (Rabu)
Masa: 8:00 – 10:00 malam (pintu dibuka 7.30 petang)
Tempat: Dewan Persidangan, Penang Institute

Biodata
Azhar Ibrahim, Ph.D adalah pensyarah di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura (NUS). Beliau meraih ijazah Doktor Falsafah dan Sarjana dari universiti yang sama dalam pengkhususan Pengajian Melayu, khasnya dalam bidang kesusasteraan Melayu klasik dan moden. Tumpuan kajian beliau adalah sosiologi sastera, teologi sosial, wacana kebudayaan, peradaban dan pemikiran Islam, serta minat dalam wacana literasi kritis dan pembangunan intelektual Melayu-Indonesia. Beliau juga telah menerbitkan sebuah antologi Syair Kesaksian yang bertemakan kritik sosial.

Antara buku beliau yang pernah terbit ialah:

  • Memikir-ulang Tradisi untuk Pembaharuan (2018)
  • Historical Imagination and Cultural Responses to Colonialism and Nationalism: A Critical Malay(sian) Perspective (2017)
  • Menyanggah Belenggu Kerancuan Fikiran Masakini (2016)
  • Utopia Masyarakat Lambak (2015)
  • Cendekiawan Melayu Penyuluh Emansipasi (2014)
  • Bahasa dan Tantangan Intelektualisme (2014)
  • Contemporary Islamic Discourse in the Malay-Indonesia World ( 2014)
  • Narrating Presence: Awakening from Cultural Amnesia. (2014)

EVENT HIGHLIGHTS