Upcoming Events
26Aug2019

Bangsa Idaman: Sebuah Kupasan Mengenai Usaha Merintis Malaysia Baharu

Sejak mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 dan terbentuknya negara Malaysia pada tahun 1963, Malaysia telah wujud sebagai sebuah negara tanpa bangsa. Tiga tiang seri yang membentuk negara ini adalah: wilayah (territoriality), kewarganegaraan (citizenship) dan sistem perundangan (constitution). Namun demikian, wujud keinginan untuk memiliki sebuah ‘identiti nasional sepunya’, atau bangsa dalam kalangan rakyat yang pelbagai di negara ini. Identiti nasional sepunya ini dikenali sebagai ‘bangsa idaman’.

Ketika Perang Dunia Kedua tamat pada tahun 1945, wacana mengenai bangsa idaman menjadi semakin rancak. Beberapa kelompok strategik (strategic groups) yang lebih berciri keetnikan dan sebahagiannya bersifat ideologikal telah terbentuk. Mereka dikategorikan sebagai pergerakan nasionalisme. Masing-masing merancang untuk berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan daripada British dalam kerangka bangsa idaman masing-masing, yang bermaksud sifat dan wajah bangsa Malaysia yang mereka inginkan sesuai dengan agenda ekonomi, politik, sosial dan budaya masing-masing.

Syarahan ini membuka kembali lembaran perbincangan mengenai konsep ‘bangsa idaman’ yang merupakan terjemahan ungkapan ‘nations-of-intent’ yang menjadi judul sebuah esei saya ditulis hampir 30 tahun lalu. Pada hemat saya, Malaysia bukan hanya masih mencari-cari ‘bangsa idaman’ yang sesuai, bahkan ‘perpaduan’ yang jelas masih merupakan sebuah impian. Apakah relevannya hal-hal ini dalam pembentukan ‘Malaysia Baharu’?

Pembicara: Prof. Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin
Pengulas: YB Zairil Khir Johari
Tarikh: 26 Ogos 2019 (Isnin)
Masa: 8.00 malam – 10.00 malam (pintu dibuka dari 7.30 petang)
Tempat: Conference Hall, Penang Institute

Tiga penerbitan yang berkait langsung dengan kandungan syarahan ini:

1. “Nations-of-Intent in Malaysia”, pp. 426-456
2. “Debating about Identity in Malaysia: A Discourse Analysis”, pp. 476-499.
3. “Nation, Ethnicity and Contending Discourse in the Malaysian State”, pp.131-139.

Biodata Ringkas

Shamsul Amri Baharuddin, BA, MA (Malaya), PhD (Monash Australia), FASc, adalah salah seorang daripada lima Profesor Ulung di Malaysia dan semenjak 2007 dilantik sebagai Pengarah Pengasas, Institut Kajian Etnik (KITA), UKM. Pada April 2018, diundang menjadi Felo Akademi Sains Malaysia (ASM), salah seorang daripada 9 ahli sains sosial dalam ASM sekarang yang mengandungi 377 saintis ternama di Malaysia. Terkini, pada Februari 2019 lalu beliau telah dilantik sebagai penyandang UNESCO CHAIR @ UKM (Communications and Social Cohesion). Sering diundang mengulas isu-isu semasa di Malaysia dan rantau ASEAN oleh media massa tempatan dan antarabangsa (AlJazeera, BBC, National Geographic, ChannelNews Asia, Singapore).

Sila daftarkan minat anda di sini. Untuk pertanyaan lanjut, hubungi sekretariat di enquiry@penanginstitute.org.

*Please take note that this event will be held in Bahasa Malaysia language