Press Releases

FORUM NUSANTARA 5 “Syed Sheikh Al-Hadi: Pencetus Gerakan Pencerahan di Malaysia?”

Sukacita dimaklumkan bahawa Penang Institute akan menganjurkan Forum Nusantara siri ke-5 dengan ketetapan berikut:

Tajuk: Syed Sheikh Al-Hadi: Pencetus Gerakan Pencerahan di Malaysia?
Tarikh: 16 Jun 2012 (Sabtu)
Lokasi: Auditorium MPSP, Bandar PERDA, Bukit Mertajam, Pulau Pinang
Masa: 8.30 Pagi – 12.30 Tengahari

Panelis:

  1. Prof Dato’ Asri Zainul Abidin (bekas Mufti Perlis)
  2. Tuan Haji Ibnu Hasyim
  3. Hasmi Hashim @ Buddhi Hekayat
  4. Eekmal Ahmad (Moderator)

Syed Syeikh bin Syed Ahmad Al-Hadi merupakan seorang penerbit, pemikir dan reformis yang tersohor dalam sejarah masyarakat Melayu. Beliau lahir di Melaka pada tahun 1867. Pada usia 14 tahun, beliau dihantar ke Riau untuk mengaji agama dan bahasa Arab dengan seorang pengarang dan juga agamawan iaitu Raja Ali Haji.

Pada penghujung abad ke-19, Syed Sheikh telah berkunjung ke Mekah dan juga Beirut serta Kaherah untuk menambahkan ilmu pengetahuan dalam bidang agama dan berguru dengan reformis terkenal di Kaherah – Muhammad Abduh. Sekembalinya dari Mesir, Syed Sheikh Al-Hadi telah mendirikan Madrasah Al-Iqbal pada tahun 1907 di Singapura. Beliau kemudiannya mendirikan dua buah lagi sekolah iaitu Madrasah Al-Hadi (1915) di Melaka dan Madrasah Al-Mashoor (1926) di Pulau Pinang. Beliau telah menjadi Mudir kepada dua buah madrasah tersebut.

Pewarisan beliau boleh dikatakan sebagai citra pendidikan moden dan budaya pemikiran reformis dengan tafsiran Islam yang progresif pada zamannya. Beliau bersama sahabatnya kemudian menerbitkan majalah Al-Imam (1906), Al-Ikhwan (1927) dan akhbar Saudara (1928). Beliau juga menghasilkan Hikayat Faridah Hanum yang telah menggegarkan lumrah pemikiran masyarakat Melayu pada ketika itu.

Pun begitu, cara pemikirannya yang agak radikal ini sukar diterima umum di Johor, Singapura dan Melaka. Oleh kerana itu, Syed Sheikh telah menjadikan Pulau Pinang sebagai pangkalannya. Apakah kelebihan Pulau Pinang dan bagaimana idea-idea progesif beliau yang melangkaui zaman mampu bertapak dan diterima di negeri ini?

Persoalan ini dan lain-lain lagi akan dikupaskan oleh ahli-ahli panel dalam Forum Nusantara siri terbaru anjuran Penang Institute ini yang akan membariskan tokoh-tokoh seperti bekas Mufti Perlis Prof Dato’ Asri Zainul Abidin, aktivis media dan gerakan sosial Tuan Haji Ibu Hasyim, serta budayawan dan penukil lirik terkenal Hasmi Hashim atau lebih dikenali sebagai Buddhi Hekayat. Moderator forum kali ini adalah Eekmal Ahmad, iaitu Setiausaha Akhbar kepada YB Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga seorang aktivis Komuniti Jalan Telawi.

Gabungan ahli akademik dan cendekiawan awam ini diharap mampu mencetuskan fikiran, semangat dan iltizam warga Pulau Pinang untuk meletakkan kembali Pulau Pinang sebagai pusat ilmu serantau.

ZAIRIL KHIR JOHARI
Ketua Pegawai Eksekutif