18 Feb'17 - Bual Nusantara - Punk, Penentangan & Politik Transnasionalisme

post event punk penentangan politik transnasionalisme

Sekitar tahun 1970-an, di United Kingdom, Australia dan Amerika Syarikat muncul satu sub-budaya yang dikenali sebagai punk. Ia menjadi ikutan ramai anak muda pada ketika itu terutama sekali bagi mereka yang memilih cara hidup di luar kebiasaan. Hal ini kerana sub-budaya punk umumnya mengambil jalur anti kemampanan (anti-establishment) dalam pelbagai spektrum kehidupan baik dari segi muzik, cara hidup mahupun pandangan politik.

Akibat proses globalisasi, sub-budaya punk kemudiannya mengalir masuk ke rantau Asia Tenggara dan seterusnya menapak di negara ini. Amat mengejutkan apabila sub-budaya punk yang boleh dikatakan asing bagi masyarakat kita pada waktu itu ternyata menjadi ikutan ramai anak muda. Dengan gaya pemakaian serta rentak muzik tersendiri yang relatif keras dan laju, sub-budaya ini diambil dan kemudiannya disesuaikan dengan konteks tempatan.

Namun demikian, punk tidak semestinya ditanggapi secara positif sepenuhnya oleh semua pihak. Naratif yang dominan dan popular antaranya adalah punk dianggap tidak lebih dari sekadar sejenis muzik rancak manakala para pengikutnya pula, dalam nada yang negatif, tidak lebih dari sekadar kutu rayau dan tergolong sebagai masalah sosial.

Naratif ini dipegang, menjadi popular dan seakan-akan diakui oleh khalayak. Namun pertanyaannya adalah, adakah naratif ini satu-satunya naratif yang boleh digunapakai? Atau terdapatkah naratif yang lebih berbeza untuk menjelaskan fenomena kewujudan sub-budaya punk di dalam masyarakat kita? Apakah sub-budaya punk ini lebih dari sekadar muzik yang agresif dan bising?

Baru-baru ini, Penang Institute sekali lagi menganjurkan forum di bawah siri Bual Nusantara yang bertajuk Punk, Penentangan dan Politik Transnasionalisme. Forum ini setidak-tidaknya telah berjaya meruntuhkan naratif ini dan menawarkan sudut pandang baru dalam memahami sub-budaya punk yang menjadi ikutan anak  muda di Malaysia.

Forum yang membariskan tiga orang ahli panel iaitu, Joe Kidd, seorang pemuzik dan penyelidik, Syarifah Nursyahidah, pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia dan Febriansyah, Felo di Nothingham University serta dipengerusikan oleh Mohd Izzuddin Ramli, penyelidik di kluster Nusantara, Penang Institute ini merumuskan bahawa kemunculan sub-budaya punk tidak semestinya dianggap sebagai sesuatu yang devian semata-mata. Punk pada sisi yang lain merupakan suatu bentuk perlawanan masyarakat terhadap kemapanan malah perlawanan terhadap pelbagai bentuk penindasan, ketidakadilan, rasisme dan penyahkemanusiaan yang jelas bersifat politikal.

Muzik menjadi antara medium penting bagi komuniti punk dalam menyampaikan mesej-mesej mereka yang berbentuk perlawanan. Muzik yang relatif rancak dan berirama keras bukan hanya wujud sebagai respon terhadap jenis muzik mendayu-dayu yang wujud di awal kemunculannya, namun merupakan respon terhadap pelbagai kepincangan politik, ekonomi dan sosial yang melingkari kehidupan. Ini tidak hanya berlaku di negara-negara asal budaya punk seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom, malah turut terjadi di semerata dunia.

Mesej anti-kapitalisme, penindasan dan kemiskinan misalnya sering dilagukan oleh kumpulan muzik punk. Kumpulan muzik punk asal Indonesia yang popular seperti Marjinal misalnya banyak membawa unsur-unsur seperti ini. Di Malaysia, tidak kurang kita lihat para pengikut punk turut sama terlibat dalam acara-acara yang bersifat politikal seperti turut serta dalam demonstrasi, menjalankan aktiviti kemasyarakatan seperti food not bomb dan sebagainya. Ini menunjukkan bahawa komuniti punk merupakan sebahagian yang penting dalam masyarakat Malaysia secara keseluruhan.

Hal yang turut sama menarik untuk dilihat di dalam sub-budaya ini adalah kekuatan jaringan politik dan sosial yang wujud namun kurang diberi perhatian, baik oleh para pengkaji mahupun masyarakat awam. Jaringan politik dan sosial merentasi batas negara atau jaringan transnasionalisme ini menjelaskan bahawa sub-budaya punk tidak wujud secara terpisah dari realiti di sekitarnya, namun turut berhubungan antara satu sama lain. Hubungan ini diterjemahkan melalui pelbagai aktiviti seperti pertukaran atau perdagangan barangan, perbincangan isu-isu politik dan sosial antarabangsa, undangan kumpulan-kumpulan muzik untuk membuat persembahan di luar negara dan sebagainya.

Budaya berdikari melalui etika do-it-yourself atau D.I.Y merupakan antara ciri lain komuniti punk yang menarik untuk diperhatikan. Etika D.I.Y merupakan sebuah idea yang menggalakkan bahawa setiap orang mampu untuk berdikari dan berkebolehan untuk melakukan pelbagai perkara secara sendiri tanpa bergantung kepada orang lain. Etika ini sangat berkait rapat dengan budaya anti-konsumerisme yang dipegang oleh kelompok punk dan ia diaplikasikan di dalam kehidupan seharian. Antaranya seperti menjahit dan membaiki pakaian sendiri, berkebun, mengitar semula barangan dan sebagainya.

Jelas bahawa sub-budaya punk merupakan sesuatu yang unik, alternatif dan menarik untuk diteliti. Ia merupakan suatu fenomena yang tidak boleh dilihat melalui sudut pandang yang terhad tetapi perlu melalui kaca mata yang pelbagai. Wacana tentang sub-budaya ini juga perlu diperluas dan diperkembangkan ke dalam ranah akademik.

 

Our Affiliates

 

pg_gov      mppp      mpsp      pdc   psdc      undp       usm   investpg

Quick Links

About Us   |   Contact Us   |   Media Centre   |   Sitemap

Penang Institute
10 Brown Road, 10350 Penang, Malaysia.
Tel : (604) 228 3306   |   Fax : (604) 226 7042
General enquiries : enquiry@penanginstitute.org