9 Feb - Forum Nusantara 3 - Legasi Kepimpinan dan Pemikiran Yusof Rawa: Dari Lebuh Acheh ke Seluruh Nusantara

smaller text tool iconmedium text tool iconlarger text tool icon

ABSTRAK

Pengenalan
Forum Intelektual Nusantara merupakan satu siri forum awam yang mengetengahkan pandangan alam dan budaya fikir cendekia, sasterawan, budayawan dan institusi-institusi keilmuan yang ada kaitannya dengan Pulau Pinang dan hubungannya dengan kebudayaan Nusantara secara keseluruhannya. Pulau Pinang yang suatu ketika dulu merupakan pusat pertembungan perdagangan, kebudayaan dan keilmuan yang sangat kosmopolitan sifatnya telah banyak mencambahkan benih perubahan dalam masyarakat. Tidak mahu hanya dibelenggu oleh romantism silam Institut Pulau Pinang (Penang Institute, dahulunya dikenali sebagai SERI) mengambil langkah mula untuk mengembalikan fungsi Pulau Pinang sebagai hub intelektual Nusantara dengan menganjurkan siri forum ini. Justeru dengan kesedaran ini, Institut Pulau Pinang terpanggil untuk mengajak seluruh rakyat Pulau Pinang bersama-sama mengembalikan kegemilangan ini kepada kejayaan masa depan rantau Nusantara.

Latar
Allahyarham Tuan Guru Haji Yusuf Bin Haji Abdullah Ar-Rawi atau dikenali sebagai Tuan Guru Haji Yusof Rawa (8 Mei 1922 - 28 April 2000) bukan sahaja pemikir, ahli politik, malah ahl perniagaan yang dihormati. Beliau merupakan salah seorang pengasas Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang dan dilantik sebagai Bendahari Kehormat yang pertama dalam pertubuhan tersebut. Beliau juga adalah tokoh gerakan Islam dan bekas Yang Di-Pertua atau Presiden PAS dan merupakan satu-satunya pemimpin PAS yang memegang kedua-dua jawatan terpenting dalam parti iaitu Presiden dan juga Mursyidul Am. Beliau juga adalah anak Pulau Pinang yang pertama menjawat jawatan Menteri dalam kabinet Malaysia. Yusof Rawa dilahirkan di Lebuh Acheh, Pulau Pinang dari kalangan peniaga dan pengusaha percetakan. Orang tuanya Abdullah Mohamad Noordin ar-Rawa banyak menerbitkan kitab-kitab jawi. Yusof Rawa bersekolah Melayu Jalan Carnarvon, Sekolah menengah di Government English School dan kemudian ke Penang Free School sehingga lulus peringkat Junior Cambridge sebelum ke Makkah. Beliau berperanan penting dalam penerbitan majalah al-Islah yang membawa idea-idea progresif pada tahun 1970 dan mengajukan perspektif yang luas terhadap hubungan pendidikan dan konsep kewarganegaraan (citizenship);

“Pengajaran tidaklah cukup dengan hanya menumbuhkan angkatan-angkatan yang memahami matapelajaran-matapelajaran persekolahan sahaja, malahan seharusnya – menumbuhkan angkatan-angkatan yang – mempunyai kesanggupan, penuh  bertanggungjawab dan betul-betul berguna dalam menghadapi  dan mengharungi urusan penghidupan, sebagai anggota masyarakat, sebagai warganegara..”

Yusof Rawa (1970), “Kita Dan Pendidikan - Pengajaran”,
Majalah al-Islah, Pulau Pinang: Zi United Press,bil. 12, jil. 1, 1 Ogos 1970, h. 3.


ATURCARA MAJLIS

7.30 malam Pendaftaran & jamuan makan malam
8.15 malam Ketibaan YB Dato’ Mansor Hj. Othman,
Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang
8.20 malam Ucapan pengerusi majlis
8.25 malam Ucapan alu-aluan,
YB Liew Chin Tong,
Pengarah Eksekutif, Institut Pulau Pinang (Penang Institute)
8.35 malam Ucaptama,
YB Dato’ Mansor Hj. Othman,
Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang
8.45 malam FORUM NUSANTARA (SIRI 3)

“Legasi Kepimpinan dan Pemikiran Yusof Rawa: Dari Lebuh Acheh ke Seluruh Nusantara”


Moderator:

Hj Mohd Hashim
Pengamal Media & Pengiat Politik

Ahli Panel:

YB. Dr. Mujahid Yusof Rawa
Ahli Parlimen Parit Buntar

Haji Subky Abdul Latif
Pengarang dan tokoh kewartawanan

Prof Madya Dr Fadlullah Jamil
Mantan Prof Madya USM dan Penyelidik
9.45 malam Sesi soal jawab & diskusi
10.30 malam Penyampaian cenderamata & bersurai

PANELIS

Hj Mohd Hashim (Moderator)
IBNU HASYIM adalah nama samaran bagi Hj Mohd Hashim. Pernah menulis di beberapa akhbar tempatan. Mantan Pengarang Majalah Al-Ummah dan pernah menghasilkan beberapa buah buku politik, sejarah dan agama antaranya 1950-2000: Sejarah Kebangkitan & Masa Depan PAS Kuasai Malaysia, Analisis Politik Pulau Pinang dan Pemikiran Fadzil Mohd Noor. Beliau seorang aktivis PAS yang aktif, pernah menjadi ahli Perhubungan PAS Negeri Pulau Pinang & Lajnah Ekonomi & Pembangunan (1986-1993) dan di peringkat pusat sebagai AJK Ekonomi, Lajnah Kebajikan, Ehwal Bukan Islam. Beliau pernah bertanding Pilihanraya Umum sebagai calon PAS pada tahun 1986 & 1990. Ibnu Hasyim juga seorang bloger, alamat web beliau: http://www.ibnuhasyim.com.

YB Dr Mujahid Yusof Rawa
Dr. Mujahid Yusof Rawa merupakan Ahli Parlimen Parit Buntar, Negeri Perak dari PAS dan merupakan anak kepada Mursyidul Am PAS yang pertama iaitu Allahyarham Tuan Guru Yusof Rawa. Beliau merupakan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat. Selain aktiviti politik beliau juga terlibat dalam aktiviti keilmuan seperti menyampaikan kuliah-kuliah agama di seluruh negara terutama dalam bidang sirah dan beliau juga penulis yang prolifik, antara karya beliau ialah Dakwah dan Tarbiah (1992), Masjid dan Peranannya (1993), Khilaf Satu Fenomena (1994), Global View of Islam (1996), Moral Ethica of Study (2000), Permata dari Pulau Mutiara (2003), dan Menuju Pas Baru, Krisis Peluang dan Dinamisme (2010).

Haji Subky Abdul Latif
Subky Abdul Latif (lahir 28 Julai 1940 di Sitiawan, Perak) adalah seorang pengarang dan wartawan di Malaysia. Mendapat pendidikan awal antaranya di Sekolah Mathodist Afternoon School Sitiawan dan Pulau Pinang kemudian melanjutkan pengajian diploma kewartawanan di Kuala Lumpur dan di Institute Fur Journalismus, Jerman. Subky memulakan kerjayanya sebagai seorang wartawan di Utusan Melayu. Jawatan terakhirnya di Utusan ialah sebagai pengarang tajuk rencana dan penulis pojok. Beliau kemudian menjadi pengasas beberapa buah akhbar yang ditarik permit penerbitannya seperti Suara Rakyat, Suara Merdeka dan Harian Watan.Paling akhir turut mengasaskan Harakah. Dalam politik, Subky pernah menjadi ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat 1982 hingga 2005. Selain itu beliau turut merupakan penulis kepada beberapa buah buku politik dan baru sahaja menerbitkan memoirnya yang bertajuk Anak Apak (2011).

Prof Madya Dr Hj Fadhlullah bin Jamil
Fadlullah Jamil kini adalah Pensyarah Sambilan di Bahagian Sejarah, Pusat Pengajian Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia, antara karya terkenal beliau adalah Islam Di Asia Barat Moden: Pergolakan dan Penjajahan (2007) yang telah memenangi hadiah,”Anugerah Media Islam Negara” (AMIN), Kali Kedua, Bahagian Buku Terbaik, pada 24 Julai, 2008.Beliau juga sering diundang untuk berceramah di dalam dan luar negara.

Twitter Feeds

By A Web Design

Follow Us

fb_sm   twitter_sm   youtube_sm

Latest Video


Our Affiliates

pg_gov      mppp      mpsp      pdc   psdc      undp       usm   investpg